Skip to main content

Berita

Pelajar UTHM Gilap Bakat Sebagai Pereka Karakter Animasi

Oleh Puan Bakhreza binti A. Talip
22 Disember 2022, 2:13 pm
Pelajar UTHM Gilap Bakat Sebagai Pereka Karakter Animasi

TANJUNG MALIM: Seramai 71 orang pelajar Diploma Teknologi Animasi (DAG), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menyertai program Media World yang telah diadakan di Kolej Harun Aminurrashid (KHAR), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 18 Disember 2022 yang lalu.

Media World merupakan program sehari yang berkonsepkan pertandingan, lawatan dan bengkel dan terbuka kepada semua mahasiswa/i awam dan swasta.

Tujuan utama program ini adalah untuk mengasah bakat peserta dalam menghasilkan grafik beranimasi dengan menggunakan perisian Adobe Animate.

Program ini dianjurkan oleh Exco Media, Publisiti dan Perhubungan Awam KHAR dan dilaksanakan dalam dua aktiviti pembelajaran melalui bengkel Kuasai Asas Animasi 2D dan penilaian hasil pembelajaran dengan penganjuran pertandingan Karakter Animasi.

Program seumpama ini memberikan pengalaman pembelajaran dan penilaian secara kolaborasi bersama tenaga pengajar daripada UPSI yang boleh memberikan nilai tambah kepada pengetahuan asas yang telah dipelajari di UTHM.

Para peserta bersama pensyarah pengiring telah bertolak dengan menaiki bas pada jam 4:00 pagi dari Kolej Kediaman UTHM Pagoh. Program ini bermula dengan sesi pendaftaran yang bermula jam 8:00 pagi dan berakhir dengan sesi penyampaian hadiah pukul 5:30 petang.

Komitmen kesemua peserta bersedia seawal pagi merentas negeri untuk menyertai program ini menunjukkan kesungguhan dan keyakinan untuk mempamer bakat sebagai pereka karakter animasi di luar UTHM.

Penyertaan pelajar dalam program bengkel dan pertandingan anjuran agensi luar seperti ini boleh menjadi pemangkin dalam membentuk jati diri mahasiswa/i cemerlang yang berciri global.

Program Diploma Teknologi Animasi adalah program pengajian yang baru ditawarkan di Pusat Pengajian Diploma (CeDS), UTHM.

Pelajar tahun 1 dan tahun 2 telah menyertai program ini.

Penyertaan pelajar ke program ini berupaya meningkatkan visibility UTHM dalam bidang animasi.

Selain itu, hasil pelajar juga telah dinilai dalam pertandingan untuk kategori tempat pertama, kedua, ketiga dan sagu hati. Pelajar UTHM telah berjaya membolot hadiah dari setiap kategori.

Pencapaian ini menunjukkan kebolehupayaan teknikal dan kompetensi asas pelajar dalam pembangunan karakter animasi dengan menggunakan teknologi digital.