Skip to main content

Berita

Pelajar CeDS Diraikan Sebagai Peserta Akhir Pertandingan Adobe dan Microsoft

Oleh Cik Bakhreza binti A. Talip, Encik Mohd Firdaus bin Herrow
06 Jun 2023, 9:42 pm
Pelajar CeDS Diraikan Sebagai Peserta Akhir Pertandingan Adobe dan Microsoft

BANGSAR: Tiga orang pelajar daripada Jabatan Teknologi Maklumat, Pusat Pengajian Diploma (CeDS), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah berjaya dikategorikan sebagai peserta akhir dalam pertandingan Adobe Certified Professional (ACP) dan Microsoft Office Specialist (MOS) Malaysia National Championship 2023 yang dianjurkan secara berasingan oleh Creative Cloud Community.

Pelajar tahun 1, Diploma Teknologi Animasi (DAG), Saudara Nur Muhammad Hidayat Khan bin Sakhir Sultan telah berjaya disenaraikan sebagai 30 peserta terbaik bagi pertandingan Adobe Certified Professional, manakala dua pelajar tahun akhir Diploma Teknologi Maklumat (DAT), Saudara Muhammad Hamizan bin Yusof dan Saudari dan Saudari Nur Izzati Hasanah binti Zahid telah masing-masing berjaya meraih tempat kedua dan ketiga bagi pertandingan Microsoft Office Specialist (Word 2019).

Majlis meraikan semua peserta akhir dan pemenang telah diadakan pada 1 Jun 2023 yang lalu bersempena Micro-Credential Summit (MCES) 2023 di Bangsar South.

MCES 2023 ini telah dirasmikan oleh Dato’ Prof. Dr Mohammad Shatar bin Sabran, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Malaysian Qualifications Agency (MQA) dan dihadiri oleh jemputan dalam kalangan industri, alumni pertandingan dan pensyarah dari institusi awam dan swasta dari seluruh Malaysia.

Pelajar telah hadir ke majlis tersebut bersama dua orang pensyarah pengiring Cik Bakhreza binti A. Talip dan Encik Mohd Firdaus bin Mohd Herrow dari CeDS, UTHM.

Pertandingan Adobe Certified Professional dan Microsoft Office Specialist telah dilancarkan pada 14 Februari 2023 yang lalu.

Pendaftaran peserta bagi Adobe Certified Professional telah bermula pada Mac 2023 dan April 2023 bagi Microsoft Office Specialist.

Peserta yang menyertai pertandingan Adobe Certified Professional perlu menghantar karya berbentuk poster digital mengikut tema yang telah ditetapkan oleh pihak penganjur.

Penghasilan karya juga mesti menggunakan perisian Adobe Photoshop, Adobe Illustrator atau Adobe InDesign.

Keputusan 30 peserta terbaik bagi karya poster digital yang bertemakan Dementia telah diumumkan pada 4 April 2023 yang lalu.

Karya terbaik dinilai oleh juri profesional dari pihak industri.

30 peserta terbaik ini perlu hadir sesi live test yang telah berlangsung pada 9 Mei 2023 yang lalu di Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

Manakala, bagi pertandingan Microsoft Office Specialist, pemenang dipilih daripada peserta yang memperolehi skor tertinggi bagi ujian kompetensi bagi salah satu perisian Microsoft, Word, Excel atau Power Point.

Peperiksaan atas talian bagi pertandingan Microsoft Office Specialist telah diadakan pada 25 Mei 2023 yang lalu.

Selain itu, peserta juga berpeluang menyertai kursus atas talian secara percuma selama tiga hari bagi tujuan persediaan peperiksaan anjuran syarikat Acestar Solution Sdn Bhd.

Pertandingan yang berteraskan prinsip Certify, Create, Compete ini mensasarkan golongan pelajar yang berumur antara 13 hingga 22 tahun sahaja.

Peserta pertandingan ini terdiri daripada golongan pelajar sekolah menengah, politeknik, kolej komuniti dan universiti awam dan swasta dari seluruh negara.

Penyertaan pelajar CeDS ke pertandingan seumpama ini dapat memupuk keyakinan akademik melalui sijil kompetensi perisian tertentu yang boleh memberi nilai tambah apabila mereka menjalani latihan industri dan apabila melangkah ke alam pekerjaan kelak.

Peserta pertandingan ditawarkan kos pensijilan kompetensi perisian Adobe dan Microsoft dengan harga yang lebih kompetitif.

Melalui pertandingan ini, pelajar CeDS, Saudara Nur Muhammad Hidayat telah berjaya memperolehi sijil kompetensi Adobe Illustrator, Saudara Aiman Hanif bin Dolah (Microsoft Power Point 2019), Saudara Muhammad Hamizan dan Saudari Nur Izzati Hasanah (Microsoft Word 2019).

Komitmen pelajar dan sokongan daripada pensyarah serta pihak pengurusan fakulti dan universiti amat penting bagi menempa kejayaan dalam program pertandingan peringkat nasional seperti ini.