Skip to main content

Berita

Selamat Datang dan Tahniah Kepada Pelajar Baru Jabatan Teknologi Maklumat, Semester Khas, Sesi 2023/2024

Oleh Cik Bakhreza binti A. Talip
04 Ogos 2023, 7:05 pm
Selamat Datang dan Tahniah Kepada Pelajar Baru Jabatan Teknologi Maklumat, Semester Khas, Sesi 2023/2024

PAGOH: Jabatan Teknologi Maklumat (JTM), Pusat Pengajian Diploma (CeDS) telah menerima seramai 202 orang pelajar baru daripada dua program pengajian, Diploma Teknologi Maklumat dan Diploma Teknologi Animasi bagi kemasukan semester khas sesi 2023/2024.

Pelajar baru program pengajian Diploma bagi semua program pengajian yang ditawarkan telah mendaftar sebagai pelajar UTHM pada 30 Julai 2023 yang lalu.

Sesi perjumpaan bersama Ketua Jabatan dan pensyarah JTM bersama pelajar baru Jabatan Teknologi Maklumat telah diadakan pada 2 Ogos 2023 di UTHM Kampus Pagoh bertempat di Dewan Kuliah 4 dan 5.

Di dalam sesi ini, pelajar diberikan taklimat penting berkaitan dengan pengurusan akademik termasuk struktur kurikulum, tatacara pendaftaran kursus dan maklumat berkaitan peraturan umum akademik.

Melalui sesi ini juga, pelajar telah mengenali Penasihat Akademik dan Kerjaya (PAK) masing-masing.

PAK merupakan pensyarah yang dilantik bagi setiap kumpulan pelajar yang berperanan sebagai penasihat sekiranya para pelajar memerlukan maklumat atau penjelasan berkenaan dengan akademik, peluang kerjaya atau hal-hal lain yang berkaitan dengan pengurusan pengajian.

Tempoh pengajian program Diploma Teknologi Maklumat (DAT) dan Diploma Teknologi Animasi (DAG) adalah selama 5 semester atau 2 tahun setengah.

Pelajar DAT dan DAG perlu mengambil dan menyelesaikan tiga kursus iaitu Introduction to Nationhood and Development of Malaysia (UQU10403), Foreign Language (UHB11*02) dan Occupational Safety and Health (DAT20102) pada semester khas ini.

Sesi kuliah dan penilaian bagi semua kursus semester khas sesi 2023/2024 akan bermula pada 6 Ogos 2023 sehingga 30 September 2023.

Ribuan terima kasih turut diucapkan kepada seluruh warga pengurusan UTHM, CeDS dan jawatankuasa Minggu Haluan Siswa (MHS) atas usaha dan kerjasama dalam perancangan serta penganjuran sesi bersama barisan pensyarah jabatan dan PAK yang telah bermula seawal jam 8.30 pagi.

Seluruh warga JTM mengucapkan tahniah dan selamat datang kepada semua pelajar baru Diploma Teknologi Maklumat dan Diploma Teknologi Animasi.

Semoga berjaya dan cemerlang dalam meneroka ilmu teori dan praktikal bagi mencapai aspirasi diri, memenuhi harapan keluarga dan seterusnya menjadi graduan kebanggaan universiti.