Skip to main content

Berita

Karya Seni Visual Diploma Teknologi Animasi Dipamerkan kepada Komuniti Muar Sempena YDP’s Walk 2023

Oleh Cik Bakhreza binti A. Talip, Encik Mokhtar bin Yahya
21 Ogos 2023, 6:22 am
Karya Seni Visual Diploma Teknologi Animasi Dipamerkan kepada Komuniti Muar Sempena YDP’s Walk 2023

MUAR: Hasil kerja pelajar Diploma Teknologi Animasi (DAG) sekali lagi dipamerkan kepada umum sempena program YDP’s Walk 2023 anjuran Majlis Perbandaran Muar (MPM) yang telah berlangsung pada 19 Ogos 2023.

Penyertaan sebagai pempamer dalam program ini adalah di atas jemputan daripada pihak MPM selepas hasil karya tersebut dipamerkan di UTHM sempena Program Kembara Canselor yang telah berlangsung pada bulan Jun 2023 yang lalu.

Program YDP’s Walk 2023 ini telah diadakan di Dataran Tanjung Emas, Muar bermula seawal jam 7:00 pagi hingga 5:00 petang.

Pelbagai aktiviti termasuk pameran daripada agensi-agensi kerajaan dan bukan kerajaan, jualan dan pertandingan telah diadakan.

Pusat Pengajian Diploma (CeDS) telah diberikan peluang mewakili UTHM Kampus Pagoh sebagai antara pempamer di dalam program ini.

Tuan Yang Dipertua MPM juga hadir bersama meluangkan masa mengunjungi rerurai pameran hasil karya pelajar DAG serta berminat dengan hasil karya tersebut.

Beliau telah memberi sokongan kepada pelajar supaya meneruskan usaha dalam menghasilkan lebih banyak karya yang bermutu tinggi.

Seramai lima orang pelajar DAG terlibat dalam program ini dan dua orang Pensyarah Jabatan Teknologi Maklumat (JTM), CeDS,

Encik Mohd Firdaus bin Mohd Herrow dan Encik Mokhtar bin Yahya telah terlibat secara langsung dalam program ini.

Program seumpama ini turut meningkatkan keterlihatan UTHM dan CeDS sebagai antara institusi pendidikan awam di Malaysia yang menawarkan program akademik DAG.

Sementara itu, pihak MPM amat mengalukan jalinan kerjasama di antara UTHM dalam usaha menyerlahkan tempat-tempat menarik di Muar melalui karya seni visual yang kreatif.

Antara usaha kerjasama yang akan dirancang ialah melalui penghasilan karya seni dan produksi visual bertemakan Muar melalui pertandingan serta sebagai antara produk hasil intelek bagi kursus Asas Seni dan Reka Bentuk dan Produksi Video.

Ts Dr Noor Azizi bin Yusoff, pensyarah kanan UTHM serta selaku Ketua Living Lab Muar turut hadir ke program ini yang pertama kali disertai oleh CeDS.

Melalui pameran seumpama ini, usaha ke arah pengkomersialan hasil intelek pelajar boleh digerakkan dan seterusnya memberi motivasi kepada para pensyarah dan pelajar dalam usaha penghasilan produk akademik yang berkualiti dan bernilai.

Melalui pameran ini juga, terdapat pengunjung yang mula membuat pra-tempahan bagi mendapatkan produk hasil karya pelajar.

Terima kasih kepada pihak MPM, pengurusan CeDS, Southern Volunteers dan para pelajar DAG yang telah memberikan sokongan dan kerjasama logistik dan dokumentasi dalam menjayakan program ini.