Skip to main content

Berita

Pelajar CeDS Sertai Global Problem Based Learning 2024 di Shibaura Institute of Technology, Jepun

Oleh Ts Inv Dr Shelena a/p Soosay Nathan
07 Mac 2024, 12:28 pm
Pelajar CeDS Sertai Global Problem Based Learning 2024 di Shibaura Institute of Technology, Jepun

TOKYO, JEPUN: Pada 25 Februari hingga 5 Mac, sebuah program mobiliti yang unik dan berdaya inovasi telah dijalankan oleh Shibaura Institute of Technology (SIT) dari Jepun bersama-sama dengan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Huazhong University of Science and Technology (HUST), Ming Chi University, dan Phenika University. Program kali ini melibatkan 5 buah negara iaitu Malaysia, Jepun, Vietnam, India dan Taiwan. Program ini bertujuan untuk mempromosikan kerjasama dan pertukaran ilmu antara pelajar dan penyelidik dari negara-negara berbeza.

Program mobiliti ini melibatkan pelbagai aktiviti yang melibatkan penyelesaian masalah berasaskan projek Internet of Things (IoT), pertukaran budaya, lawatan ke muzium Teknologi Miraikan Jepun, dan perbincangan bersama universiti luar berkaitan promosi dan kerjasama masa hadapan.

Salah satu sorotan utama program ini adalah penyelesaian masalah berasaskan projek IoT. Pelajar dari empat universiti akan bekerjasama untuk memecahkan masalah semasa dengan menggunakan teknologi IoT. Ini termasuklah pengembangan sistem pintar untuk kegunaan harian, penyelesaian kepada isu-isu alam sekitar, dan aplikasi IoT dalam sektor perindustrian. Seramai enam pelajar daripada Pusat Pengajian Diploma (CeDS), UTHM dan diiringi oleh seorang pensyarah Ts Inv Dr Shelena a/p Soosay Nathan, telah menyertai program ini dan berjaya memperolehi biasiswa program berjumlah 80,000 yen seorang. Diakhir program, kumpulan pelajar UTHM juga Berjaya memeperolehi dua anugerah iaitu Reviewer Choice Award dan Student Choice Award.

Selain itu, program ini juga menitikberatkan pada pertukaran budaya antara pelajar. Melalui aktiviti ini, mereka dapat memahami lebih mendalam tentang nilai-nilai budaya masing-masing dan memupuk persefahaman yang lebih baik di antara pelbagai latar belakang. Lawatan ke museum teknologi Jepun, Miraikan menjadi pengalaman unik bagi para pelajar untuk memahami sejarah dan perkembangan teknologi di negara Jepun yang sememangnya terkenal dengan kemajuan teknologi bertaraf antarabangsa. Mereka dapat melihat inovasi-inovasi terkini dan menyaksikan bagaimana teknologi telah memainkan peranan penting dalam kemajuan industri dan kehidupan harian Jepun.

Selain itu, perbincangan bersama universiti luar juga diadakan untuk membincangkan peluang promosi dan kolaborasi masa hadapan antara institusi pendidikan tersebut. Ini merangkumi potensi pertukaran pelajar, penyelidikan bersama, dan program akademik yang dapat memberikan manfaat kepada kedua-dua pihak. Program mobiliti ini diharapkan dapat memperkukuhkan hubungan antara institusi pendidikan, membuka peluang baru bagi pelajar untuk berkembang, dan menggalakkan pertukaran pengetahuan serta inovasi di antara negara-negara yang terlibat. Dengan fokus yang diberikan kepada penyelesaian masalah berbasis teknologi dan pertukaran budaya, program ini menandakan langkah positif ke arah pembangunan pendidikan dan penyelidikan yang lebih holistik dan bersepadu.