Berita
Penyerahan Surat Watikah Sekolah Angkat UTHM dan Ceramah Hala Tuju Strategi Persediaan SPM 2025

SUNGAI MATI: Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) meneruskan komitmennya dalam memperkasakan pendidikan dengan menjalin kerjasama strategik bersama Sekolah Menengah Agama Lughatul Quran (SMALQ) Kesang Tasek, Sungai Mati, Tangkak, Johor. Majlis Penyerahan Surat Watikah Sekolah Angkat UTHM telah diadakan pada 28 Syaaban 1446H bersamaan 27 Februari 2025 sebagai tanda rasmi hubungan erat antara kedua-dua institusi ini.
Majlis yang berlangsung dengan penuh simbolik ini turut diserikan dengan kehadiran beberapa tetamu kehormat, termasuk Ts Inv. Mahmod Abd Hakim bin Mohamad dan Ts Inv. Dr Mohd Shahir bin Yahya, Pensyarah Kanan, Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Pusat Pengajian Diploma (CeDS), UTHM. Turut hadir ialah Ustaz Ishak bin Md Mosrah, Guru Penolong Kanan Pentadbiran merangkap wakil Pengetua Sekolah Menengah Agama Lughatul Quran, serta Tuan Mohd Alias bin Ramli, Guru Bimbingan dan Kaunseling sekolah tersebut.
Penyerahan watikah ini merupakan sebahagian daripada inisiatif UTHM dalam memberikan sokongan akademik serta pembangunan kemahiran kepada pelajar sekolah angkatnya. Kerjasama ini diharapkan dapat memberi manfaat besar bukan sahaja kepada para pelajar tetapi juga kepada keseluruhan komuniti sekolah melalui pelbagai program pendidikan dan kemasyarakatan yang bakal dijalankan.
Sejurus selepas majlis penyerahan watikah, sesi Ceramah Hala Tuju Pelajar Selepas SPM 2025 telah diadakan kepada 135 orang pelajar tingkatan empat dan tingkatan lima dengan objektif memberi suntikan semangat serta dorongan hala tuju dan strategi persediaan kepada pelajar terutama calon-calon SPM sekolah SMALQ tahun ini. Ceramah yang disampaikan oleh Ts Inv. Dr Mohd Shahir bin Yahya, memfokuskan kepada strategi dalam mencapai cita-cita dengan pemilihan program yang sesuai di peringkat pengajian tinggi di samping mempromosikan program Diploma UTHM.
Dalam ucapan wakil Pengetua sekolah, Ustaz Ishak bin Md Mosrah turut mengalu-alukan usaha murni ini dan berharap agar jalinan kerjasama ini dapat diteruskan untuk manfaat jangka panjang kepada pelajar. Beliau juga menzahirkan penghargaan kepada UTHM atas usaha yang berterusan dalam menyokong sektor pendidikan dan pembangunan modal insan di peringkat sekolah.
Dengan adanya inisiatif seperti ini, para pelajar diharapkan dapat memanfaatkan segala peluang yang diberikan untuk mencapai kejayaan yang lebih cemerlang dalam SPM 2025. Semoga hubungan kerjasama antara UTHM dan Sekolah Menengah Agama Lughatul Quran ini terus berkembang dan memberi impak positif kepada pembangunan pendidikan negara.
Popular
-
Lawatan ke Industri Beri Pendedahan Kepada Teknologi Terkini Rawatan…
-
Jadikan Diploma UTHM Pilihan Pertama Untuk ke Menara Gading
-
Artikulasi Kurikulum Bersama Kementerian Pendidikan Malaysia
-
Projek Diploma Kejuruteraan Mekanikal Diiktiraf Industri di i-MECa21
-
Seramai 318 Pelajar CeDS Memperoleh Anugerah Dekan
-
Advanced Global Project Based Learning 2.0 Wadah Kolaborasi Global
-
CSR Nature Hero 2021 Wadah Tingkatkan Kepekaan Isu Alam Sekitar
-
Graduan CeDS Menerima Anugerah Khas Pada Konvokesyen Ke-16
-
Program Mobiliti Inbound Peringkat Antarabangsa Asah Kemahiran Reka B…
-
Lawatan CeDS ke JPN Johor