Skip to main content

Berita

Produk Jabatan Teknologi Maklumat Curi Tumpuan di Majlis Peluncuran Program Sekolah Digital (Santuni Madani)

Oleh Ts Inv. Dr Rafizah binti Mohd Hanifa, Encik Mokhtar bin Yahya
28 Februari 2025, 12:45 pm
Produk Jabatan Teknologi Maklumat Curi Tumpuan di Majlis Peluncuran Program Sekolah Digital (Santuni Madani)

PARIT YAANI: Sekolah Kebangsaan Seri Telok telah menjadi saksi kepada peluncuran Program Sekolah Digital (Santuni Madani) yang berlangsung dengan penuh meriah. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Yang Berusaha Tuan Haji Azman bin Haji Adnan.

Jabatan Teknologi Maklumat (JTM), Pusat Pengajian Diploma (CeDS) menerusi program Diploma Teknologi Maklumat (DAT) dan Diploma Teknologi Animasi (DAG) turut mengambil bahagian dalam majlis ini dengan mempamerkan hasil kerja pelajar mereka. Sebagai tanda sokongan terhadap teknologi digital dalam pendidikan, produk bercirikan Realiti Terimbuh (AR) dan Realiti Maya (VR) telah dipamerkan, sejajar dengan perkembangan teknologi terkini dalam bidang pendidikan.

Ts Inv. Dr Rafizah binti Mohd Hanifa telah mempamerkan dua produk utama, iaitu Mari Belajar PAI dan ARithmetic. Produk-produk ini berjaya menarik minat pelajar yang hadir untuk mencuba sendiri pengalaman pembelajaran secara interaktif dan inovatif. Kesemua produk yang dipamerkan merupakan hasil kerja pelajar DAT, membuktikan keupayaan mereka dalam menerapkan teknologi digital ke dalam pendidikan.

Selain itu, Encik Mokhtar bin Yahya turut menjadi salah seorang pempamer dengan mempersembahkan hasil karya pelajar DAG. Karya-karya ini menampilkan kreativiti pelajar dalam penghasilan animasi digital dan seni visual. Proses penghasilan animasi bermula dari peringkat pra-produksi sehingga ke fasa akhir telah diterjemahkan dalam bentuk animasi interaktif, buku skrap, serta lukisan manual dan digital. Untuk membekalkan pelajar dengan kemahiran industri yang relevan, penekanan diberikan kepada aspek teknikal dan artistik dalam penghasilan karya mereka.

Penyertaan CeDS dalam program seumpama ini jelas membuktikan komitmen dan kesungguhan dalam menyumbang ke arah kreativiti dan inovasi dalam pendidikan digital di Malaysia. Selain itu, program ini juga menjadi wadah memperkenalkan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) kepada masyarakat setempat, sekali gus memperkukuhkan peranan institusi pendidikan tinggi dalam mendukung pembangunan teknologi digital dalam sektor pendidikan.