Skip to main content

Berita

Pensyarah Serta Pelajar UTHM Sempurnakan Global Project-Based Learning (gPBL) 5.0 di Thailand Dengan Jayanya

Oleh Ts Inv. Dr Shelena a/p Soosay Nathan
11 Mei 2025, 4:27 pm
Pensyarah Serta Pelajar UTHM Sempurnakan Global Project-Based Learning (gPBL) 5.0 di Thailand Dengan Jayanya

SONGKHLA, THAILAND: Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus mengorak langkah memperkasa pendidikan global apabila enam orang pelajar dari Pusat Pengajian Diploma (CeDS), bersama seorang pensyarah pengiring berjaya menyempurnakan program Global Project-Based Learning (gPBL) 5.0 di Thailand.

Program yang berlangsung dari 5 hingga 10 Mei 2025 ini telah dilaksanakan di dua buah institusi ternama, iaitu Prince of Songkla University (PSU) dan Thaksin University (TSU). Ia dianjurkan oleh Jabatan Teknologi Maklumat, CeDS, UTHM dengan sokongan daripada Pejabat Hal Ehwal Pelajar (PHEP), UTHM.

Program ini bertujuan membina kecekapan pelajar dalam menyelesaikan masalah dunia sebenar melalui pendekatan pembelajaran berasaskan projek dan rentas budaya. Ia juga membuka ruang kerjasama akademik antarabangsa serta pemindahan teknologi secara langsung.

Antara pengisian utama ialah sesi pembentangan projek tahun akhir oleh pelajar kepada Profesor dari TSU, termasuk projek bertemakan kecerdasan buatan, pengesanan daging hala, sistem sewaan basikal, serta aplikasi pendidikan interaktif. Pembentangan ini membolehkan pelajar menerima maklum balas konstruktif daripada pakar luar negara dan meningkatkan kualiti projek mereka.

Para pelajar turut mengikuti bengkel akademik berasaskan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan pembelajaran mesin, yang menumpukan kepada penggunaan Google Colab dan YOLO (You Only Look Once) untuk pengesanan objek. Bengkel ini dikendalikan oleh pensyarah TSU, Dr Naphat Keawpibal, dan memberikan pelajar pengalaman praktikal dalam teknologi semasa. Pelajar juga berpeluang melawat Fakulti Kejuruteraan, TSU untuk memahami sumbangan penyelidikan universiti kepada masyarakat, antaranya dalam pembangunan produk getah perubatan dan simulator latihan.

Menurut pensyarah pengiring, Ts Inv. Dr Shelena a/p Soosay Nathan, program ini bukan sahaja memperkaya ilmu teknikal pelajar, malah memperkukuh kemahiran insaniah seperti kepimpinan, komunikasi dan kerja berpasukan antarabangsa. “Pendedahan seperti ini mampu membina pelajar yang bukan sahaja mahir dalam bidang masing-masing, tetapi juga bersedia bersaing di peringkat global”, jelas beliau. Manakala menurut Nur Fathehah Liyana binti Mahathir, salah seorang peserta program, pengalaman menyertai gPBL 5.0 telah membuka matanya terhadap aplikasi ilmu secara nyata. “Saya belajar bukan Sahaja dari segi teknikal, tetapi juga daripada budaya, semangat kerja, dan nilai komuniti tempatan. Ia pengalaman yang sangat bermakna”.

Turut serta dalam program ini ialah pelajar Nur Fatini binti Yuhasri’ Azan, Julia binti Zaid, Nur Afrina Batrisyia binti Abdul Rahman, Pavan a/l Vikram, dan Andrew Jalong Gau yang turut memainkan peranan penting dalam jawatankuasa pelaksana program.

Program ini berjaya mencapai objektif utamanya dalam meningkatkan nilai tambah akademik dan profesional pelajar melalui pendedahan antarabangsa. Malah, ia juga mengukuhkan hubungan strategik antara UTHM dan institusi luar negara, seterusnya membuka peluang kepada kolaborasi penyelidikan dan pertukaran pelajar pada masa akan datang.