Skip to main content

Berita

Lawatan SMK Seri Intan Ke UTHM Pagoh Bakar Semangat ke Bidang Kejuruteraan, Sains dan Teknologi

Oleh Fawwaz bin Mohd Nasir
15 Oktober 2025, 9:20 am
Lawatan SMK Seri Intan Ke UTHM Pagoh Bakar Semangat ke Bidang Kejuruteraan, Sains dan Teknologi

PAGOH: Seramai 39 orang murid Tingkatan 5 dari SMK Seri Intan, Kluang bersama empat orang guru pengiring telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Pagoh bagi memberi pendedahan awal mengenai suasana pembelajaran di institusi pengajian tinggi serta bidang kejuruteraan, sains dan teknologi yang ditawarkan universiti ini.

Lawatan ini memberi manfaat besar kepada murid-murid yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), khususnya dalam membantu mereka merancang hala tuju pendidikan selepas tamat persekolahan.

Program dimulakan dengan sesi taklimat pengenalan kepada UTHM dan penerangan mengenai program-program diploma yang dikendalikan oleh Pusat Pengajian Diploma (CeDS). Taklimat tersebut disampaikan oleh Ts Dr Hazlini binti Dzinun, Timbalan Dekan Pembangunan, Penyelidikan dan Penerbitan CeDS.

Dalam sesi tersebut, beliau berkongsi maklumat mengenai peluang pengajian di peringkat diploma yang semuanya diiktiraf badan profesional, kemudahan pembelajaran moden di UTHM Pagoh, kemudahan penginapan di kolej kediaman sepanjang pengajian serta bantuan-bantuan kebajikan yang ditawarkan UTHM.

Usai sesi taklimat, para pelajar berpeluang melawat beberapa makmal berteknologi tinggi di sekitar kampus termasuk Makmal Internet Benda (IoT) Industri, Makmal Teknologi Automasi Industri, Makmal Teknologi Sistem Automotif, Makmal Grafik dan Animasi serta Makmal Komputer SAVA.

Lawatan ini bukan sahaja memperkenalkan suasana pembelajaran berasaskan teori dan amali di UTHM, malah turut mencetuskan minat para pelajar terhadap bidang kejuruteraan, sains dan teknologi.

Pihak CeDS berharap program sebegini dapat diteruskan bagi memperkukuh hubungan antara universiti dan sekolah, sekali gus memupuk minat generasi muda terhadap bidang pendidikan teknikal dan vokasional sejajar dengan aspirasi negara membentuk masyarakat berkemahiran tinggi.

@cedsuthm Menerima kunjungan dari anak2 pelajar SMK Seri Intan Kluang.. #uthm #ceds #uthmpilihanpertama #pusatpengajiandiploma #universititunhusseinnonnmalaysia ♬ suara asli - SPPG GUNUNG PANJANG