Berita
PAK Perdana CeDS 2025 Erat Hubungan Antara PAK dan Pelajar
PAGOH: Pusat Pengajian Diploma (CeDS), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dengan kerjasama Persatuan Pelajar Diploma (PPD) telah menganjurkan Program PAK Perdana CeDS 2025 bertempat di sekitar Dewan A9, Kolej Kediaman Kampus Pagoh dan Stadium Hab Pendidikan Tinggi Pagoh. Program yang berlangsung dari 7 pagi hingga 1 petang ini berjaya menghimpunkan seramai 1 460 orang pelajar aktif dan 82 orang staf daripada pelbagai jabatan di bawah CeDS.
Program ini merupakan satu inisiatif tahunan yang berperanan sebagai saluran komunikasi antara Penasihat Akademik dan Kerjaya (PAK) dan para pelajar, bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim serta memperkukuh kefahaman tentang peranan dan tanggungjawab masing-masing. Melalui pendekatan santai dan bersemangat, program ini turut menyemai semangat keterbukaan, motivasi, dan kesepaduan dalam kalangan pelajar diploma.
Acara dimulakan pada jam 8 pagi dengan bacaan Ikrar Bebas Rasuah dan aktiviti senamrobik di Dewan A9, Kolej Kediaman Kampus Pagoh. Aktiviti diteruskan dengan brisk walk yang melibatkan seluruh warga CeDS dari Dewan A9 menuju ke Stadium Hab Pendidikan Tinggi Pagoh, sebagai simbolik semangat kebersamaan dan gaya hidup sihat.
Ketibaan YBrs. Dekan, Timbalan-timbalan Dekan serta Ketua-ketua Jabatan pada jam 9.00 pagi menandakan bermulanya sesi rasmi di Stadium. Majlis diserikan dengan bacaan doa, nyanyian Lagu Bangsa Johor dan Negaraku, sebelum diteruskan dengan perasmian PAK Perdana CeDS 2025 serta penutupan rasmi Inter-Dip 3.0 oleh YBrs. Dr Muhammad Faizal bin Ismail, Dekan Pusat Pengajian Diploma (CeDS).
Acara kemuncak program menyaksikan gimik penutupan Inter-Dip 3.0, iaitu larian 100 meter yang melibatkan wakil pelajar daripada tujuh jabatan di CeDS. Larian simbolik ini mencerminkan semangat kesukanan, kerjasama dan persaingan sihat antara pelajar, sekali gus menandakan penutupan rasmi program Inter-Dip 3.0.
Acara diteruskan dengan penyampaian Piala Pusingan Inter-Dip 3.0 serta nyanyian Lagu Gemilang UTHM, sebelum para pelajar menyertai Acara Sukan PAK Mengikut Jabatan yang dijalankan di pelbagai lokasi seperti berikut:
- Jabatan Kejuruteraan Awam (JKA): Dewan MPH
- Jabatan Kejuruteraan Mekanikal (JKM): Stadium Hab Pendidikan Tinggi Pagoh dan Gelanggang Futsal
- Jabatan Kejuruteraan Elektrik (JKE): Sekitar Kampus dan Dewan A9
- Jabatan Sains dan Matematik (JSM): Gelanggang Futsal
- Jabatan Teknologi Maklumat (JTM): Stadium Hab Pendidikan Tinggi Pagoh
Program diakhiri dengan penyampaian hadiah mengikut jabatan pada jam 1 tengah hari. Secara keseluruhannya, PAK Perdana CeDS 2025 bukan sahaja menjadi platform interaksi antara PAK dan pelajar, tetapi juga medium bagi membentuk pelajar diploma UTHM yang lebih dinamik, berdaya saing dan mempunyai jati diri unggul selaras dengan aspirasi universiti dalam melahirkan graduan holistik dan berintegriti.
PAK Perdana CeDS 2025
Popular
-
Lawatan ke Industri Beri Pendedahan Kepada Teknologi Terkini Rawatan… -
Jadikan Diploma UTHM Pilihan Pertama Untuk ke Menara Gading -
Seramai 318 Pelajar CeDS Memperoleh Anugerah Dekan -
Artikulasi Kurikulum Bersama Kementerian Pendidikan Malaysia -
Projek Diploma Kejuruteraan Mekanikal Diiktiraf Industri di i-MECa21 -
Graduan CeDS Menerima Anugerah Khas Pada Konvokesyen Ke-16 -
CSR Nature Hero 2021 Wadah Tingkatkan Kepekaan Isu Alam Sekitar -
Advanced Global Project Based Learning 2.0 Wadah Kolaborasi Global -
Program Mobiliti Inbound Peringkat Antarabangsa Asah Kemahiran Reka B… -
Lawatan CeDS ke JPN Johor