Skip to main content

Berita

Taklimat Penulisan Kertas Cadangan Siri 3 Untuk Pelajar DAU

Oleh Puan Jamilah binti Mohd Ghazali, Puan Siti Fatimah binti Mohd Noor
20 November 2025, 9:10 am
Taklimat Penulisan Kertas Cadangan Siri 3 Untuk Pelajar DAU

PAGOH: Seramai 59 orang pelajar Diploma Sains Gunaan (DAU) telah menyertai Taklimat Penulisan Kertas Cadangan Siri 3: Penulisan Kajian Literatur, yang diadakan secara fizikal di MBF1, UTHM Pagoh. Program ini merupakan kesinambungan daripada siri sebelumnya yang memberi fokus kepada penulisan pengenalan serta pengurusan rujukan dalam penyediaan kertas cadangan penyelidikan pelajar. Program ini dianjurkan oleh Jabatan Sains dan Matematik, Pusat Pengajian Diploma (CeDS), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Kampus Cawangan Pagoh.

Taklimat ini menampilkan Puan Jamilah binti Mohd Ghazali sebagai penceramah, yang berkongsi pendekatan efektif dalam memahami struktur asas kajian literatur, teknik pencarian sumber ilmiah, serta kaedah menganalisis dan mensintesis maklumat daripada pelbagai artikel akademik. Beliau turut memberi panduan praktikal mengenai cara membina aliran penulisan yang koheren dan menepati format penulisan kertas cadangan UTHM.

Sepanjang sesi, pelajar didedahkan kepada kepentingan mengenal pasti isu kajian, jurang penyelidikan dan sumber rujukan yang berautoriti. Program ini bukan sahaja meningkatkan kemahiran pelajar dalam menghasilkan kajian literatur yang berkualiti, tetapi juga memperkukuh kemahiran penulisan akademik serta kefahaman mereka terhadap proses penyelidikan.

Secara keseluruhannya, penganjuran Taklimat Penulisan Kertas Cadangan Siri 3 ini memberi impak positif dalam membantu pelajar menyediakan kertas cadangan yang lebih sistematik, beretika dan berintegriti.