Berita
Lawatan Akademik ke FKMP: Pendedahan Pelajar Diploma Kejuruteraan Mekanikal Kepada Operasi Loji dan Hangar Pesawat
PARIT RAJA: Seramai 59 orang pelajar dari Pusat Pengajian Diploma telah berjaya menyertai lawatan industri ke Loji dan Hangar Pesawat di Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM). Lawatan ini turut diiringi oleh dua orang pensyarah pengiring sebagai salah satu usaha pendedahan awal terhadap suasana industri sebenar.
Program bermula dengan sesi taklimat akademik mengenai Program Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Mekanikal (Loji) dengan Kepujian dan Sarjana Muda Teknologi Operasi Loji Minyak dan Gas (Kepujian) yang disampaikan oleh Ketua Jabatan Teknologi Mekanikal, Ts Dr Zuliazura binti Mohd Salleh. Taklimat tersebut memberikan pelajar gambaran menyeluruh tentang struktur program, hala tuju kerjaya serta kompetensi yang diperlukan dalam bidang logi, dan minyak dan gas.
Selesai sesi taklimat, pelajar dibawa melawat ke Operasi Loji FKMP, di mana mereka dapat melihat secara dekat operasi peralatan industri, sistem kawalan serta aspek keselamatan yang diamalkan oleh teknologis dan jurutera. Perbincangan dua hala bersama pegawai teknikal membuka ruang kepada pelajar untuk memahami lebih dekat aplikasi praktikal ilmu dalam situasi operasi sebenar.
Di akhir lawatan, pelajar turut dibawa ke Hangar Pesawat di bawah Program Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Aeronautik (Penyenggaraan Pesawat Terbang) dengan Kepujian. Selain diberikan penerangan mengenai penyelenggaraan pesawat dan struktur komponen asas aeronautik oleh Ketua Jabatan Kejuruteraan Aeronautik, Profesor Madya Ts Dr Mohd Fadhli bin Zulkafli, pelajar juga berpeluang menaiki pesawat bagi merasai sendiri suasana kokpit serta melihat kelengkapan instrumen yang digunakan dalam operasi penerbangan dan latihan penyelenggaraan.
Lawatan ini secara keseluruhannya memberikan pengalaman pembelajaran yang sangat berharga, di samping meningkatkan minat dan kesedaran pelajar terhadap prospek kerjaya dalam bidang industri mekanikal, minyak & gas serta teknologi penyelenggaraan pesawat. Program seumpama ini diharapkan dapat terus menyokong aspirasi pelajar untuk meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi dengan lebih yakin dan bermotivasi.
Popular
-
Lawatan ke Industri Beri Pendedahan Kepada Teknologi Terkini Rawatan… -
Jadikan Diploma UTHM Pilihan Pertama Untuk ke Menara Gading -
Seramai 318 Pelajar CeDS Memperoleh Anugerah Dekan -
Artikulasi Kurikulum Bersama Kementerian Pendidikan Malaysia -
Projek Diploma Kejuruteraan Mekanikal Diiktiraf Industri di i-MECa21 -
Graduan CeDS Menerima Anugerah Khas Pada Konvokesyen Ke-16 -
CSR Nature Hero 2021 Wadah Tingkatkan Kepekaan Isu Alam Sekitar -
Advanced Global Project Based Learning 2.0 Wadah Kolaborasi Global -
Program Mobiliti Inbound Peringkat Antarabangsa Asah Kemahiran Reka B… -
Lawatan CeDS ke JPN Johor