Skip to main content

Berita

Lawatan Industri Pelajar Diploma Kejuruteraan Elektrik ke Pelabuhan Tanjung Pelepas Perkukuh Pendedahan Dunia Sebenar Industri

Oleh Ts Eddy Irwan Shah bin Saadon
25 November 2025, 12:24 pm
Lawatan Industri Pelajar Diploma Kejuruteraan Elektrik ke Pelabuhan Tanjung Pelepas Perkukuh Pendedahan Dunia Sebenar Industri

ISKANDAR PUTERI: Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) telah dipilih sebagai destinasi Lawatan Industri Kursus Mesin Elektrik dan Pemacu (DAE32303) yang melibatkan seramai 107 orang pelajar Tahun 2 Diploma Kejuruteraan Elektrik dan lapan orang pegawai pengiring daripada staf Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Pusat Pengajian Diploma.

Lawatan ini telah dilaksanakan dalam dua sesi berasingan iaitu pada 25 November 2025 dan 27 November 2025. Program ini bertujuan memberi pendedahan secara langsung kepada aplikasi sebenar mesin elektrik, sistem pemacu dan kawalan yang digunakan dalam persekitaran industri berskala besar.

Sepanjang lawatan, para pelajar mengikuti taklimat pengurusan operasi elektrik oleh pihak PTPserta sesi soal jawab teknikal. Program ini turut diperkaya dengan sesi perkongsian oleh alumni Diploma Kejuruteraan Elektrik (DAE) UTHM yang kini mengikuti Program Port Equipment Technician (PETech), di mana alumni berkongsi pengalaman kerjaya, laluan profesional, serta keperluan kemahiran industri sebenar kepada para pelajar.

Pendedahan ini memberi nilai tambah kepada pelajar dalam mengaitkan teori pembelajaran dengan realiti industri, selain meningkatkan motivasi, keyakinan diri dan kesedaran terhadap peluang kerjaya dalam bidang kejuruteraan elektrik. Lawatan ini juga mengukuhkan hubungan strategik antara universiti, alumni dan pihak industri selaras dengan usaha UTHM melahirkan graduan berkemahiran tinggi dan berdaya saing.