Skip to main content

Berita

Troli Sisa Makanan: Komitmen UTHM Pagoh ke Arah Kelestarian Kampus

Oleh Ts Inv. Mahmod Abd Hakim bin Mohamad, Dr Noor Azizah binti Sidek
31 Disember 2025, 4:25 pm
Troli Sisa Makanan: Komitmen UTHM Pagoh ke Arah Kelestarian Kampus

PAGOH: Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Kampus Cawangan Pagoh (KCP) terus memperkukuh komitmennya terhadap amalan kelestarian melalui perasmian Troli Sisa Makanan 3 dalam 1 yang telah berlangsung dengan jayanya di Kafeteria Arked Mawar, UTHM KCP.

Majlis perasmian tersebut telah disempurnakan oleh YBhg. Prof. Dr Afandi bin Ahmad, Provost UTHM KCP. Turut hadir memeriahkan majlis ialah Dr Muhammad Faizal bin Ismail, Dekan Pusat Pengajian Diploma; Dr Noor Azizah binti Sidek, Ketua Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Pusat Pengajian Diploma; serta Encik Mohd Sani bin Mohd Sha’ari, Pengarah Pejabat Pentadbiran UTHM KCP, bersama barisan pengurusan kampus.

Inisiatif inovatif ini merupakan hasil penyelidikan dan pembangunan yang diterajui oleh Ts Inv. Mahmod Abd Hakim bin Mohamad, Pensyarah Kanan merangkap Penyelidik Projek Troli Sisa Makanan 3 dalam 1. Projek ini dibangunkan bagi menyokong sistem pengurusan sisa makanan yang lebih sistematik, teratur dan berkesan, khususnya di fasiliti kafeteria kampus.

Penggunaan troli sisa makanan ini bukan sahaja memudahkan proses pengasingan dan pengumpulan sisa, malah berperanan sebagai medium pendidikan kepada warga kampus untuk meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan kebersihan, pengurangan pembaziran makanan serta kelestarian alam sekitar. Inisiatif ini selari dengan agenda kelestarian universiti dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs).

Pihak universiti turut merakamkan penghargaan kepada pasukan pelajar dan penyelia dari Pusat Pengajian Diploma atas idea, inovasi dan penyelesaian praktikal yang telah dihasilkan melalui projek ini. Kejayaan ini membuktikan keupayaan pelajar dalam menterjemahkan pengetahuan akademik kepada aplikasi sebenar yang memberi manfaat kepada komuniti kampus.

Setinggi-tinggi penghargaan juga ditujukan kepada Pejabat Kelestarian Kewangan, Bahagian Pembangunan Perniagaan atas sokongan kewangan yang diberikan, serta Pejabat Pentadbiran UTHM KCP atas bantuan dari aspek tadbir urus dan pelaksanaan.

Diharapkan pelaksanaan Troli Sisa Makanan 3 dalam 1 ini dapat memberi impak positif dan berterusan dalam usaha mewujudkan persekitaran kampus yang lestari, bersih dan sejahtera, di samping menjadi pemangkin kepada lebih banyak inovasi berteraskan kelestarian pada masa hadapan.