Skip to main content

Berita

Bengkel Penulisan Buku

Oleh Puan Hafsa binti Mohammad Noor, Encik Mohd Hamim bin Sanusi @ Ikhsan, Dr Junita binti Sulaiman, Dr Norhaliza binti Abu Bakar, Ts Ahmad Hakimi bin Mat Nor, Ts Dr Hazlini binti Dzinun
13 Mac 2026, 3:56 pm
Bengkel Penulisan Buku

PAGOH: Bengkel Penulisan Buku anjuran Jawatankuasa Pengkomersilan dan Inovasi Pusat Pengajian Diploma (CeDS), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah diadakan pada 13 Mac 2026, dari jam 9 pagi hingga 11.30 pagi di Bilik Mesyuarat 5, UTHM Kampus Pagoh. Program ini telah disertai oleh 28 peserta yang terdiri daripada staf akademik Pusat Pengajian Diploma.

Bengkel ini dibimbing oleh penceramah, Ts Inv. Mahmod Abd Hakim bin Mohamad, yang berpengalaman dalam penerbitan buku akademik dan buku rujukan. Beliau merupakan pensyarah kanan dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal di Pusat Pengajian Diploma. Antara buku yang telah diterbitkan oleh beliau ialah Mekanik Pepejal Teori Dan Penyelesaian Masalah (ISBN: 9786294901667), Termodinamik Pelajar Kejuruteraan (ISBN: 9789670061337), Modul Sijil Eksekutif Pengurusan Teknologi Penanaman Tebu Profesional (ISBN: 9789672975090) dan Compressible Inviscid Flow: One-Dimensional High-Order Compact Method Using Euler Equations Approach (ISBN: 9789672183174).

Bengkel ini bertujuan untuk memberi pemahaman kepada staf berkaitan proses penerbitan buku akademik. Staf diberi pendedahan mengenai kategori buku, iaitu buku teks, buku terjemahan, buku penyelidikan, karya asli, karya suntingan, karya kreatif, dan penerbitan khas universiti (coffee table). Penceramah turut menerangkan panduan penerbitan dan komponen yang perlu ada dalam buku, diikuti oleh proses penerbitan serta langkah-langkah penting dalam menerbitkan buku akademik dari peringkat awal hingga akhir.

Penceramah juga berkongsi teknik dan strategi penulisan berimpak, di samping memberi panduan tentang cara menulis dengan berkesan dan menarik perhatian pembaca. Beliau turut menceritakan pengalaman sebenar dalam menghasilkan buku dan membawa draf buku yang ditulis tangan sebelum ditransisi kepada cetakan buku bagi menunjukkan proses bagaimana penulisan ini dihasilkan.

Syabas dan tahniah diucapkan kepada pihak penganjur, terutamanya Hj Mohd Hamim bin Sanusi @ Ikhsan selaku pengarah program, kerana berjaya mengadakan program yang dilihat mampu menambah nilai kepada kerjaya staf akademik melalui penerbitan buku, di mana ia dapat meningkatkan portfolio akademik dan profesional. Program ini merupakan satu inisiatif untuk memberi pendedahan, galakan, dan motivasi kepada staf akademik di CeDS dalam menghasilkan buku akademik dan buku rujukan.