Skip to main content

Berita

Pengenalan CeDS Digital Showroom UTHM: Memperkasa Ruang Pameran Maya Universiti

Oleh Puan Hafsa binti Mohammad Noor, Ts Dr Hazlini binti Dzinun, Encik Mohd Hamim bin Sanusi @ Ikhsan, Dr Junita binti Sulaiman, Ts Ahmad Hakimi bin Mat Nor, Dr Norhaliza binti Abu Bakar
21 April 2026, 5:18 pm
Pengenalan CeDS Digital Showroom UTHM: Memperkasa Ruang Pameran Maya Universiti

PAGOH: Jawatankuasa di bawah Kluster Timbalan Dekan Penyelidikan, Penerbitan dan Pembangunan, Pusat Pengajian Diploma (CeDS), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan Sesi Perkongsian Pendaftaran Produk untuk Dikomersialkan melalui CeDS Digital Showroom secara dalam talian.

Sesi ini menampilkan Ts Mohamad bin Md Som sebagai penceramah jemputan, yang merupakan Jurutera Pengajar di Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Pusat Pengajian Diploma, serta Ketua Jabatan di Pusat Pembelajaran Maya, Jabatan Pengurusan Sistem Pembelajaran. Perkongsian beliau memberi fokus kepada penerokaan fungsi dan potensi CeDS Digital Showroom sebagai medium pengkomersialan produk inovasi universiti.

CeDS Digital Showroom merupakan platform digital yang dibangunkan oleh Pusat Pengajian Diploma UTHM bagi mempamerkan maklumat, produk serta pencapaian universiti kepada khalayak umum secara maya. Inisiatif ini bukan sahaja memudahkan akses tanpa keperluan lawatan fizikal, malah berperanan sebagai saluran strategik untuk memperkenalkan universiti kepada pelawat antarabangsa, pelajar, penyelidik dan pihak berkepentingan. Platform ini turut menyokong usaha memperluas capaian dan keterlihatan hasil penyelidikan serta inovasi universiti ke peringkat global.

Dalam sesi tersebut, peserta didedahkan kepada kaedah penggunaan platform sebagai ruang pameran maya, termasuk demonstrasi langsung proses pendaftaran produk untuk tujuan pengkomersialan. Inisiatif ini dilihat sebagai langkah proaktif dalam mengetengahkan hasil penyelidikan dan inovasi staf serta pelajar CeDS secara lebih sistematik dan berimpak tinggi.

Penganjuran sesi ini telah membuka ruang kepada warga CeDS untuk memahami proses pendaftaran produk dengan lebih jelas dan tersusun. Platform ini diyakini berpotensi meningkatkan kadar pengkomersialan, seterusnya menjana nilai tambah kepada penyelidikan akademik. Dalam masa yang sama, CeDS Digital Showroom berperanan sebagai medium pemasaran inovasi yang mampu memperkukuh profil universiti di peringkat antarabangsa.

Seiring dengan aspirasi pengantarabangsaan UTHM, platform ini dijangka menjadi pemangkin dalam menarik minat pelajar serta rakan kolaborasi dari luar negara. Usaha ini sekali gus memperkukuh kedudukan universiti dalam landskap pendidikan global.

Tahniah diucapkan kepada semua pihak yang terlibat dalam pembangunan platform ini. Maklumat lanjut boleh diakses melalui laman sesawang rasmi: https://global.uthm.edu.my/digitalshowroom/. Sebarang cadangan penambahbaikan amat dialu-alukan bagi memastikan keberkesanan dan kelestarian ruang pameran maya ini.