Berita
Staf dan Pelajar Pusat Pengajian Diploma UTHM Raih Pengiktirafan di Anugerah Harta Intelek Negara 2026

PETALING JAYA: Warga Pusat Pengajian Diploma (CeDS), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Kampus Pagoh terus mengharumkan nama universiti apabila berjaya merangkul Anugerah Harta Intelek Negara 2026 (AHIN2026) bagi kategori Nadi Kreatif (Hak Cipta) menerusi karya bertajuk Arithmetic: A Learning Aid for Year 1 Mathematic (Hearing Impaired Students).
Kejayaan membanggakan tersebut diterajui oleh Ts Inv. Dr Rafizah binti Mohd Hanifa bersama pasukan yang terdiri daripada staf dan pelajar CeDS iaitu Puan Farah Wahida binti Mohd Hair, Puan Humaira’ binti Jefri dan Puan Nur Ainina binti Mat Diyan. Mereka menerima pengiktirafan tersebut sempena sambutan Hari Harta Intelek Negara 2026 yang berlangsung di Menara MyIPO, Petaling Jaya.
Inovasi yang dihasilkan merupakan bahan bantu pembelajaran interaktif bagi membantu murid Tahun 1 berkeperluan khas pendengaran memahami asas matematik secara lebih efektif dan inklusif. Pembangunan karya ini membuktikan komitmen warga akademik dan pelajar UTHM dalam menghasilkan inovasi pendidikan yang memberi impak positif kepada masyarakat, khususnya dalam bidang pendidikan khas.
Anugerah Harta Intelek Negara merupakan pengiktirafan berprestij anjuran Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) bagi menghargai sumbangan pencipta, inovator dan pengkarya tempatan terhadap pembangunan sosioekonomi negara.
Kejayaan ini turut menyerlahkan kecemerlangan budaya penyelidikan dan inovasi dalam kalangan staf serta pelajar di CeDS UTHM Kampus Pagoh. Selain memperkukuh budaya penghasilan harta intelek, pencapaian ini juga menjadi bukti bahawa kolaborasi antara pensyarah dan pelajar mampu menghasilkan inovasi berimpak tinggi yang mendapat pengiktirafan di peringkat kebangsaan.
Pihak universiti merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Ts Inv. Dr Rafizah binti Mohd Hanifa dan seluruh pasukan atas kejayaan yang membanggakan ini. Diharapkan pencapaian tersebut menjadi inspirasi kepada warga UTHM untuk terus aktif dalam penyelidikan, inovasi dan penghasilan karya kreatif yang mampu memberi manfaat kepada masyarakat dan negara.
Popular
-
Lawatan ke Industri Beri Pendedahan Kepada Teknologi Terkini Rawatan… -
Jadikan Diploma UTHM Pilihan Pertama Untuk ke Menara Gading -
Seramai 318 Pelajar CeDS Memperoleh Anugerah Dekan -
Artikulasi Kurikulum Bersama Kementerian Pendidikan Malaysia -
Projek Diploma Kejuruteraan Mekanikal Diiktiraf Industri di i-MECa21 -
Graduan CeDS Menerima Anugerah Khas Pada Konvokesyen Ke-16 -
Program Mobiliti Inbound Peringkat Antarabangsa Asah Kemahiran Reka B… -
CSR Nature Hero 2021 Wadah Tingkatkan Kepekaan Isu Alam Sekitar -
Advanced Global Project Based Learning 2.0 Wadah Kolaborasi Global -
Lawatan CeDS ke JPN Johor
