Skip to main content

Berita

Delegasi UIN Walisongo Perkukuh Kerjasama Strategik Bersama UTHM

Oleh Ts Dr Hazlini binti Dzinun
05 Ogos 2026, 5:00 pm
Delegasi UIN Walisongo Perkukuh Kerjasama Strategik Bersama UTHM

PAGOH: Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menerima kunjungan rasmi delegasi daripada Universitas Islam Negeri (UIN) Walisongo Semarang, Indonesia bagi memperkukuh hubungan akademik dan memperluaskan kerjasama strategik antara kedua-dua institusi. Lawatan ini merupakan kesinambungan kepada Letter of Intent (LoI) yang dimeterai pada 22 Mei 2025, sebagai langkah ke arah pemuktamadan Memorandum Persefahaman (MoU).

Delegasi yang diketuai oleh Assoc. Prof. Dr Hamdan Hadi Kusuma dan Assoc. Prof. Dr Ervin Tri Suryandar bersama pensyarah serta mahasiswa UIN Walisongo telah disambut dan diuruskan bersama oleh Pejabat Antarabangsa (International Office), Pusat Pengajian Diploma (CeDS), Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST), Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM), serta Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina (FKAAB).

Majlis rasmi diadakan di Bilik Mesyuarat Utama, Perpustakaan Tunku Tun Aminah (PTTA) dengan ucapan alu-aluan oleh Dr Muhammad Faizal bin Ismail, Dekan Pusat Pengajian Diploma UTHM. Beliau turut membentangkan profil serta pencapaian UTHM sebelum diteruskan dengan sesi perbincangan MoU yang memfokuskan kepada kerjasama dalam bidang mobiliti pelajar dan staf, penyelidikan bersama, penerbitan ilmiah, inovasi serta pembangunan akademik yang diselaraskan oleh Ts Dr Hazlini binti Dzinun, Timbalan Dekan Penyelidikan, Penerbitan dan Pembangunan, Pusat Pengajian Diploma.

Program turut dimeriahkan dengan Guest Lecture Series yang disampaikan oleh Prof. Madya Dr Hamizah binti Mohd Safuan, Panel Bidang Fizik dan menampilkan tiga akademik dari UIN Walisongo yang berkongsi kepakaran dalam bidang kecerdasan buatan, biodiversiti molekul dan matematik. Delegasi turut mengadakan lawatan ke makmal penyelidikan di FSKTM dan FKAAB bagi meneroka potensi kolaborasi penyelidikan serta perkongsian kepakaran.

Lawatan ini mencerminkan komitmen UTHM dalam memperkukuh jaringan kerjasama antarabangsa sejajar dengan aspirasi universiti ke arah kecemerlangan pendidikan, penyelidikan dan inovasi. Diharapkan Memorandum Persefahaman yang bakal dimeterai akan membuka lebih banyak peluang kerjasama strategik yang memberi manfaat kepada kedua-dua institusi serta memperkukuh hubungan akademik antara Malaysia dan Indonesia.