Berita
CeDS dan Penang Science Cluster Perkasa Generasi Muda Melalui National AI Challenge 2026 Zon Selatan

PAGOH: Pusat Pengajian Diploma (CeDS), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dengan kerjasama Penang Science Cluster (PSC) telah berjaya menganjurkan Bengkel Lanjutan National AI Challenge 2026 Zon Selatan bertempat di Dewan A9, Kolej Kediaman UTHM Kampus Pagoh.
Penganjuran program ini merupakan satu daripada usaha CeDS dalam menyokong pembangunan bakat dan kemahiran generasi muda, khususnya dalam bidang kecerdasan buatan (artificial intelligence, AI), selaras dengan perkembangan teknologi dan keperluan pendidikan masa kini.
Sepanjang program berlangsung, para peserta diberikan pendedahan berkaitan teknologi AI melalui aktiviti dan bimbingan yang memberi ruang kepada mereka untuk mengembangkan pengetahuan, kreativiti, kemahiran penyelesaian masalah serta keupayaan menghasilkan idea berasaskan teknologi. Program ini turut menjadi platform kepada para peserta untuk meneroka potensi penggunaan AI dalam menghasilkan penyelesaian yang kreatif dan inovatif.
Kemuncak program disempurnakan menerusi Majlis Perasmian Penutupan Bengkel Lanjutan National AI Challenge 2026 Zon Selatan yang dirasmikan oleh YBhg. Prof. Ts. Dr. Abdul Mutalib bin Leman, Provost UTHM Kampus Pagoh.
Turut hadir ialah YBrs. Dr. Muhammad Faizal bin Ismail, Dekan Pusat Pengajian Diploma (CeDS), UTHM; YBrs. Ts. Dr. Hazlini binti Dzinun, Timbalan Dekan Pembangunan, Penyelidikan dan Penerbitan CeDS merangkap Penyelaras Program; YBrs. Ts. Dr. Ahmad Hakimi bin Mat Nor, Pengarah Program; serta YBrs. Puan Nuraqilah Yusra binti Raheman, Program Manager and Lead, Penang Science Cluster.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran wakil daripada sektor pendidikan, iaitu YBrs. Puan Hafezah binti Kamat, Penolong Pegawai Unit Sumber dan Teknologi Pendidikan Daerah Muar yang mewakili Penolong Pengarah, Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan, Jabatan Pendidikan Negeri Johor; YBrs. Encik Mohamad Ridzuan bin Idris, Pegawai SSTP Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan; dan YBrs. Encik Mohamad Faizal bin Haji Mohamad Nasir, Penolong Pengarah, Sektor Sumber Teknologi Pendidikan, Jabatan Pendidikan Negeri Melaka.
Kejayaan program ini turut didukung oleh komitmen barisan jawatankuasa pelaksana CeDS dan PSC, para fasilitator, guru pengiring serta semua pihak yang terlibat dalam memastikan perjalanan program berlangsung dengan lancar.
Kerjasama strategik antara CeDS UTHM dan Penang Science Cluster menerusi penganjuran National AI Challenge 2026 ini mencerminkan komitmen CeDS dalam memperluas jaringan kolaborasi dengan pihak luar, di samping memainkan peranan dalam memperkasakan pendidikan STEM dan teknologi kepada generasi muda.
Penganjuran program seumpama ini diharapkan dapat terus menjadi platform dalam mencetuskan minat terhadap teknologi AI, mengasah kreativiti dan inovasi serta melahirkan generasi muda yang berpengetahuan, berkemahiran dan bersedia menghadapi cabaran era digital.
Popular
-
UTHM dan Cosmo Skills Lahirkan Pelajar Diploma Kompeten Dalam Keselam… -
PAK Perdana CeDS 2025 Erat Hubungan Antara PAK dan Pelajar -
Taklimat Penulisan Kertas Cadangan Siri 2 DAU -
Lawatan Sambil Belajar Pelajar Diploma Teknologi Animasi di Warnakala… -
Tahap Pengetahuan Terhadap Kecerdasan Buatan Generatif dalam Kalangan… -
Projek SULAM CeDS 2025: Makerobot Challenge Menarik Minat Murid Sekol… -
Pelajar CeDS Cemerlang Dalam Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peri… -
OBE Implementation Workshop Strengthens Academic Delivery at CeDS -
Bridging Classroom and Studio: A Deep Dive into Cyberjaya’s Animation… -
Penyeliaan Latihan Industri UTHM Dorong Kolaborasi Pintar Universiti–…
