Skip to main content

Berita

Lawatan Penandaarasan IKTBN Temerloh ke Pusat Pengajian Diploma

Oleh Ts Inv. Dr Shelena Soosay Nathan
26 Oktober 2026, 5:56 pm
Lawatan Penandaarasan IKTBN Temerloh ke Pusat Pengajian Diploma

PAGOH: Jabatan Teknologi Maklumat, Pusat Pengajian Diploma, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menerima lawatan penandaarasan (benchmarking) daripada Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Temerloh pada 26 Oktober 2026.

Lawatan ini melibatkan seramai 12 orang peserta, terdiri daripada lapan orang wakil IKTBN Temerloh dan empat orang wakil Jabatan Teknologi Maklumat, Pusat Pengajian Diploma UTHM. Lawatan ini bertujuan untuk berkongsi pengalaman, bertukar pandangan serta membincangkan amalan terbaik dalam pelaksanaan akademik dan pengurusan pendidikan, khususnya dalam bidang teknologi maklumat dan peralihan akademik ke TVET menggunakan Guidelines for Industrial Verification of Curriculum (GIVC).

Sepanjang lawatan, kedua-dua pihak telah mengadakan sesi perbincangan berkaitan hal ehwal akademik, pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran, pembangunan kurikulum berdasarkan GIVC. Perbincangan ini turut membuka ruang kepada perkongsian idea dan pengalaman dalam usaha memperkukuh kualiti penyampaian pendidikan serta meningkatkan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran.

Lawatan penandaarasan ini juga menjadi platform untuk mengeratkan hubungan profesional antara kedua-dua institusi di samping meneroka peluang kerjasama dalam bidang akademik dan pembangunan kompetensi pelajar. Perkongsian ilmu dan pengalaman yang diperoleh diharapkan dapat dimanfaatkan oleh kedua-dua pihak bagi menyokong penambahbaikan berterusan dalam penyampaian pendidikan dan latihan teknikal.

Secara keseluruhannya, lawatan ini mencerminkan komitmen kedua-dua institusi dalam memperkukuh hubungan strategik, meningkatkan kualiti pendidikan serta memupuk budaya perkongsian ilmu dan amalan terbaik demi melahirkan graduan yang kompeten dan berdaya saing dalam bidang teknologi maklumat.