Skip to main content

Berita

Meneroka Dunia Geoteknik: Perkongsian Kepakaran Industri dalam Penyiasatan Tanah

Oleh Dr Siti Nooraiin binti Mohd Razali
21 Oktober 2026, 5:08 pm
Meneroka Dunia Geoteknik: Perkongsian Kepakaran Industri dalam Penyiasatan Tanah

PAGOH: Jabatan Kejuruteraan Awam, Pusat Pengajian Diploma (CeDS), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan Siri Kuliah Industri bagi kursus DAC 22103 Geotechnical Engineering pada 21 Oktober 2026 secara dalam talian menerusi platform Google Meet. Program ini menampilkan Ir Ts Dr Eka Kusmawati binti Suparmanto, Jurutera Geoteknik Kanan daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia, sebagai penceramah jemputan.

Program ini telah mendapat penyertaan seramai 160 orang pelajar. Kuliah ini bertujuan memberikan pendedahan kepada pelajar tentang kepentingan penyiasatan tanah (soil investigation) dalam perancangan dan pelaksanaan projek pembinaan. Perkongsian merangkumi proses penyiasatan tapak, kaedah penggerudian dan pensampelan tanah, ujian lapangan seperti Standard Penetration Test (SPT) dan Cone Penetration Test (CPT), serta penggunaan kaedah geofizik untuk mengenal pasti keadaan bawah permukaan tanah.

Selain itu, penceramah turut menjelaskan peranan penyiasatan tanah dalam menentukan jenis dan kedalaman asas yang sesuai, menilai keupayaan galas tanah, menganggarkan mendapan serta mengenal pasti risiko geoteknik seperti tanah lembut dan ketidakstabilan cerun. Penekanan turut diberikan terhadap kepentingan perancangan penyiasatan yang sistematik bagi memastikan keselamatan dan kestabilan struktur pembinaan.

Penganjuran program ini merupakan inisiatif Jabatan Kejuruteraan Awam, CeDS, UTHM dalam memperkukuh hubungan antara institusi akademik dengan industri. Perkongsian daripada pengamal industri ini turut membantu pelajar menghubungkan pengetahuan teori dengan aplikasi sebenar dalam bidang kejuruteraan geoteknik.

Secara keseluruhannya, program ini memberikan manfaat melalui perkongsian ilmu dan pengalaman profesional, di samping meningkatkan pemahaman pelajar. Diharapkan program seumpama ini dapat diteruskan bagi melahirkan graduan diploma yang berpengetahuan, berkemahiran dan bersedia memenuhi keperluan industri kejuruteraan awam.