Skip to main content

Berita

Perkongsian Kepakaran Akademik CeDS UTHM Di Peringkat Antarabangsa Menerusi Syarahan Pelawat Bersama UIN Walisongo, Indonesia

Oleh Ts Dr Hazlini binti Dzinun
10 November 2026, 3:12 pm
Perkongsian Kepakaran Akademik CeDS UTHM Di Peringkat Antarabangsa Menerusi Syarahan Pelawat Bersama UIN Walisongo, Indonesia

PAGOH: Pusat Pengajian Diploma (CeDS), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus memperkukuh keterlihatan dan jaringan akademik antarabangsa menerusi penglibatan tenaga akademiknya dalam program Syarahan Pelawat (Guest Lecture) anjuran Jurusan Kimia, Fakultas Sains dan Teknologi, Universitas Islam Negeri (UIN) Walisongo Semarang, Indonesia.

Program yang berlangsung secara dalam talian melalui platform Zoom pada 10 November 2026 ini menampilkan Ts Dr Hazlini binti Dzinun, Timbalan Dekan (Penyelidikan, Penerbitan dan Pembangunan), Pusat Pengajian Diploma, UTHM sebagai penceramah jemputan bagi menyampaikan perkongsian ilmu bertajuk High Performance Liquid Chromatography: Basic Principles of Separation and Instrumentation.

Sesi perkongsian selama dua jam tersebut memberi pendedahan kepada peserta mengenai prinsip asas teknik High-Performance Liquid Chromatography (HPLC), khususnya mekanisme pemisahan sebatian kimia berdasarkan interaksi antara fasa pegun (stationary phase) dan fasa bergerak (mobile phase), serta pengenalan kepada komponen utama instrumen HPLC.

Antara aspek yang diketengahkan termasuk perbezaan mod pemisahan normal-phase dan reversed-phase chromatography, pengaruh polariti terhadap pengekalan sebatian, fungsi komponen utama sistem HPLC serta interpretasi asas kromatogram dalam analisis kimia.

Pendekatan penyampaian yang menggabungkan penerangan teori, ilustrasi mekanisme pemisahan, dan contoh aplikasi analisis bertujuan membantu peserta memahami hubungan antara konsep asas kromatografi dan penggunaan instrumen HPLC di makmal.

Penglibatan ini turut mencerminkan komitmen CeDS dalam menyokong pengantarabangsaan kepakaran akademik melalui perkongsian pengetahuan, pemindahan ilmu serta pengukuhan hubungan profesional dengan institusi pengajian tinggi luar negara.

Selain memperluas jaringan kerjasama antara UTHM dan UIN Walisongo Semarang, program seumpama ini membuka ruang untuk meneroka potensi kolaborasi dalam bidang pengajaran, penyelidikan dan pembangunan akademik, khususnya dalam bidang kimia analisis serta teknologi kejuruteraan kimia.

CeDS UTHM komited untuk terus memperkasakan budaya perkongsian kepakaran serta meningkatkan keterlihatan institusi di peringkat antarabangsa, selaras dengan aspirasi universiti untuk memperkukuh kecemerlangan akademik, penyelidikan dan jaringan strategik global.