Portal Rasmi Pusat Pengajian Diploma

Berita

Pelajar CeDS Johan Better Brighter Malaysia

Oleh Encik Fawwaz bin Mohd Nasir
26 August 2020, 4:55 pm
Pelajar CeDS Johan Better Brighter Malaysia

PETALING JAYA: Saudara Mohamad Afiq Izzuddin bin Mohd Sulaiman, pelajar Pusat Pengajian Diploma (CeDS), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah dinobatkan sebagai Johan Better Brighter Malaysia Short Video Contest anjuran Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan MyPerintis, dalam Majlis Penyampaian Hadiah yang telah diadakan di New World Hotel pada 19 Ogos lalu.

Hadiah telah disampaikan oleh wakil TNB serta MyPerintis; Puan Sutapa Bhattacharya, Datuk Omar Sidek dan Dato' Lawrence Low. Saudara Afiq yang merupakan pelajar tahun satu, Diploma Kejuruteraan Awam pada sesi 2019/2020, turut dianugerahkan sebuah geran bernilai RM10 000.

Video tersebut yang bertajuk Uplifting Orang Asli’s Education: Cardboard Table – Simple Project with Charity and Save Environmental, berkisar mengenai sebuah projek untuk meningkatkan ekonomi serta tahap pendidikan Orang Asli, berpaksikan konsep amal dan kitar semula.

Menerusi projek ini, meja kadbod yang dihasilkan daripada kotak terpakai, disumbangkan kepada pelajar Orang Asli untuk memudahkan mereka belajar. Selain itu, penggunaan bahan kitar semula dalam menjayakan projek ini secara tidak langsung dapat menyelamatkan alam sekitar menerusi pemuliharaan sumber semula jadi.

Idea untuk melaksanakan projek ini lahir hasil perbincangan beliau dengan rakan-rakan mengenai cara untuk meningkatkan ekonomi dan tahap pendidikan Orang Asli, tanpa melibatkan kos yang tinggi. Perbincangan tersebut tercetus dari sebuah artikel yang mengetengahkan masalah kekurangan peralatan pendidikan untuk Orang Asli.

Kata Saudara Afiq, walaupun pemberian ini tidak seberapa dan hanyalah sumbangan kecil, diharap hasil projek ini dapat meningkatkan lagi semangat untuk mereka terus belajar. Beliau juga berharap inovasi ini dapat dikomersialkan pada masa akan datang.

Tahniah diucapkan kepada Saudara Afiq!


Hak Cipta © 2022 Pusat Pengajian Diploma, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.

Paparan terbaik menggunakan pelayar web terkini dengan resolusi minimum 1280 × 720.

Dikemas kini pada 07 August 2022, 9:21 pm.