Skip to main content

Berita

Lebih 700 Pelajar Tingkatan 5 Sekolah Menengah Sekitar Kota Tinggi Hadir ke Program Promosi UTHM di SM Sains Kota Tinggi

Oleh Ts Inv. Dr Mohd Shahir bin Yahya, Dr Muhammad Faizal bin Ismail
25 November 2024, 12:46 pm
Lebih 700 Pelajar Tingkatan 5 Sekolah Menengah Sekitar Kota Tinggi Hadir ke Program Promosi UTHM di SM Sains Kota Tinggi

KOTA TINGGI: Promosi program Diploma yang berlangsung di Sekolah Menengah Sains Kota Tinggi hari ini mendapat sambutan luar biasa dengan kehadiran hampir 700 pelajar Tingkatan 5 dari sekolah-sekolah menengah seluruh daerah Kota Tinggi.

Acara program dimulai dengan ceramah promosi yang disampaikan oleh Dr. Muhammad Faizal Ismail, Dekan Pusat Pengajian Diploma. Dalam ceramahnya, Dr. Muhammad Faizal menekankan kepentingan melanjutkan pelajaran ke peringkat diploma sebagai asas untuk membina kerjaya yang kukuh dan berjaya. Beliau turut berkongsi maklumat mengenai pelbagai kursus diploma yang ditawarkan di pusat pengajian diploma, UTHM serta peluang kerjaya yang menanti graduan.

“Pelajar harus bijak memilih bidang yang sesuai dengan minat dan potensi mereka. Pusat Pengajian Diploma kami menawarkan kursus yang relevan dengan keperluan industri masa kini, memastikan graduan bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan”, kata beliau.

Ceramah seterusnya disampaikan oleh wakil dari UTHM Education and Training yang mengetengahkan program pra-diploma. Program ini dilihat sebagai platform penting untuk pelajar yang ingin mempersiapkan diri sebelum melangkah ke program diploma, terutama bagi mereka yang memerlukan pengukuhan akademik.

Para pelajar memberikan respons positif terhadap sesi ceramah ini, dengan ramai antara mereka menyatakan minat untuk melanjutkan pengajian di UTHM. Program ini turut membuka ruang interaksi antara pelajar dan pihak penganjur melalui sesi soal jawab dan kaunter penerangan yang disediakan. Program ini diharapkan dapat memberi manfaat besar kepada pelajar dan terus menjadi platform penting dalam membantu mereka membuat keputusan pendidikan yang terbaik.