Skip to main content

Berita

2 Produk UTHM di Pameran Jelita @ KPT Summit 2024

Oleh Ts Inv. Mahmod Abd Hakim bin Mohamad
04 Disember 2024, 5:21 pm
2 Produk UTHM di Pameran Jelita @ KPT Summit 2024

AYER KEROH: Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menyertai pameran JELITA @ KPT SUMMIT 2024 (Job Empowerment by Learning and Inclusive Technical Advancement) yang berlangsung di Dewan Canselor, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM). Program ini yang berlangsung selama tiga hari, dari 2 hingga 4 Disember, merupakan inisiatif transformasi strategik untuk membangun potensi graduan wanita Malaysia, selaras dengan agenda pembangunan modal insan negara.

JELITA @ KPT SUMMIT 2024 bertujuan memberikan peluang yang lebih luas dan bermakna kepada generasi muda wanita untuk memperoleh kemahiran industry-ready dan meningkatkan kebolehpasaran mereka di pasaran kerja. Salah satu acara utama program ini ialah pameran hasil penyelidikan oleh institusi di bawah rangkaian Malaysia Technical University Network (MTUN), yang turut disertai oleh seramai 52 pelajar UTHM.

Majlis penutup JELITA @ KPT SUMMIT 2024 telah disempurnakan oleh YAB Dato' Seri Utama Dr Ahmad Zahid bin Hamidi, Timbalan Perdana Menteri Malaysia, bersama YB Dato’ Seri Diraja Zambry bin Abd Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi. Turut hadir ialah Yang Berhormat Prof. Dato' Ir Ts Dr Ruzairi bin Abdul Rahim, Naib Canselor UTHM, serta Prof. Dr Shahruddin bin Mahzan @ Mohd Zin, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa).

UTHM mempamerkan dua produk unggul dalam program ini. Antaranya ialah:

  1. Produk Penjagaan dan Minuman Berasaskan Herba oleh STU ProNature Living Solutions Sdn Bhd
    Diketuai oleh Prof. Madya Dr Angzzas Sari bin Mohd Kassim bersama Ts Dr Aliff Hisyam bin A Razak, Ts Dr Siti Aishah binti Mansur, dan Prof. Madya Ts Dr Noor Akhmazillah binti Mohd Fauzi. Produk yang dipamerkan termasuk:
    • Babylaena Cream
    • RejuVnate
    • Clarity Herbal White Coffee
    • Chocolate Milk Drink
  2. Mesin Pemotong Kerepek Pisang Separuh Automatik
    Dihasilkan oleh Ts Inv. Mahmod Abd Hakim bin Mohamad dari Pusat Pengajian Diploma UTHM. Mesin ini direka untuk meningkatkan kecekapan dalam pemprosesan kerepek pisang secara komersial.

Penyertaan UTHM dalam program ini bukan sahaja menunjukkan keupayaan universiti menghasilkan penyelidikan yang relevan dan berimpak tinggi, tetapi juga menyokong agenda kebolehpasaran graduan wanita melalui inovasi teknikal dan produk yang berdaya saing.