Skip to main content

Berita

Lawatan Sambil Belajar ke Ajinomoto (Malaysia) Berhad: Memperkasa Pembelajaran Industri Pelajar Diploma Teknologi Kejuruteraan Kimia

Oleh Dr Dilaeleyana binti Abu Bakar Sidik
27 Mei 2025, 2:40 pm
Lawatan Sambil Belajar ke Ajinomoto (Malaysia) Berhad: Memperkasa Pembelajaran Industri Pelajar Diploma Teknologi Kejuruteraan Kimia

BANDAR ENSTEK: Seramai 33 orang pelajar Tahun 2 Diploma Teknologi Kejuruteraan Kimia (DAK) bersama dua orang pensyarah pengiring Jabatan Sains dan Matematik, Pusat Pengajian Diploma (CeDS) telah menyertai lawatan sambil belajar ke Ajinomoto (Malaysia) Berhad, yang terletak di kawasan perindustrian Bandar Enstek, Negeri Sembilan. Lawatan ini merupakan sebahagian daripada inisiatif pembelajaran berasaskan industri yang bertujuan untuk memberikan pendedahan secara langsung kepada pelajar mengenai aplikasi teknologi kimia dalam dunia sebenar.

Syarikat Ajinomoto, yang terkenal dengan pengeluaran penambah perisa makanan seperti Monosodium Glutamate (MSG), juga memainkan peranan penting dalam mengamalkan proses pengeluaran yang lestari dan mesra alam. Salah satu aspek menarik dalam lawatan ini ialah pendedahan terhadap sistem rawatan air yang diamalkan oleh pihak Ajinomoto. Air sisa daripada proses pengeluaran akan melalui beberapa peringkat rawatan termasuk rawatan biologi dan kimia, serta proses penulenan akhir sebelum dilepaskan semula ke alam sekitar mengikut piawaian Jabatan Alam Sekitar. Teknologi rawatan air ini bukan sahaja penting bagi pemeliharaan alam sekitar tetapi juga sebagai langkah tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat terhadap komuniti.

Lawatan ini memberikan impak yang sangat bermakna kepada para pelajar, khususnya dalam aspek pengukuhan pemahaman teori yang dipelajari di dalam bilik kuliah melalui pemerhatian secara langsung terhadap operasi industri sebenar. Pelajar juga dapat mengembangkan kemahiran komunikasi dan interpersonal melalui sesi soal jawab bersama jurutera dan pegawai teknikal Ajinomoto.

Bagi pihak institusi, program seperti ini membantu menjalin hubungan strategik dengan pihak industri, sekali gus membuka peluang kepada kerjasama yang lebih luas seperti latihan industri, projek tahun akhir, serta jemputan penceramah industri ke kampus. Ia juga sejajar dengan usaha universiti dalam melahirkan graduan yang holistik, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan.

Secara keseluruhannya, lawatan ke Ajinomoto (Malaysia) Berhad ini bukan sahaja mencetuskan minat pelajar terhadap bidang teknologi kejuruteraan kimia, malah membentuk satu platform pembelajaran berimpak tinggi yang menghubungkan dunia akademik dan realiti industri.