Skip to main content

Berita

Mini Game Makerobot Battle Semarakkan STEM Bersama Sekolah Angkat CeDS

Oleh Ts Tengku Nadzlin bin Tengku Ibrahim
24 Jun 2025, 3:22 pm
Mini Game Makerobot Battle Semarakkan STEM Bersama Sekolah Angkat CeDS

PAGOH: Bersempena Program Diploma Project Exhibition (DiPX) 2025 yang telah berlangsung pada 24 Jun 2025, satu program Knowledge Transfer Programme (KTP) telah dianjurkan melibatkan penyertaan pelajar dari sekolah angkat Pusat Pengajian Diploma (CeDS), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Program ini menyaksikan pertandingan Mini Game Makerobot Battle hasil kolaborasi antara CeDS dan MAKERSPACE@UTHM. Ia dikendalikan oleh Kumpulan Fokus Modular Educational Robotics (MEBOT) dengan sokongan pelajar Tahun 1 Program Diploma Kejuruteraan Elektrik dan Mekanikal, CeDS.

Tiga sekolah angkat CeDS yang terlibat ialah Madrasah Al Hafizah Saidatina Khadijah, Sekolah Menengah Agama Lughatul Quran dan Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Mamat.

Setiap sekolah telah menghantar dua kumpulan untuk bertanding dimana sebelum pertandingan, para pelajar menerima latihan intensif mengenai asas pengaturcaraan dan pengendalian robot yang dibekalkan oleh MAKERSPACE@UTHM. Pertandingan dijalankan dalam format liga, di mana setiap robot perlu meletupkan belon robot di pihak lawan atau dalam gamefield untuk mengumpul mata berdasarkan syarat yang telah ditetapkan.

Keputusan pertandingan adalah seperti berikut: Emas – SM Agama Lughatul Quran (Team E), Perak – SMK Tun Mamat (Team F) dan Gangsa – Madrasah Al Hafizah Saidatina Khadijah (Team D).

Penganjuran program ini diharap dapat memupuk minat pelajar sekolah dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM). Inisiatif sebegini wajar diperluas ke lebih banyak sekolah, khususnya di sekitar UTHM Kampus Cawangan Pagoh, dalam usaha membudayakan STEM dalam kalangan generasi muda.