Berita
Pameran Inovasi DiPX 2025 Serlahkan Sinergi dan Potensi Pelajar Diploma UTHM

PAGOH: Pameran Diploma Exhibition (DiPX) 2025 anjuran Pusat Pengajian Diploma (CeDS), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah berlangsung dengan penuh meriah pada 23 dan 24 Jun 2025 bertempat di Dewan Serbaguna, Auditorium 6, dan Pusat Konvensyen, UTHM.
Program ini melibatkan penyertaan 321 kumpulan pelajar meliputi pelbagai program iaitu Kejuruteraan Awam, Kejuruteraan Elektrik, Kejuruteraan Mekanikal, Teknologi Maklumat, Teknologi Animasi, Sains Gunaan, dan Teknologi Kejuruteraan Kimia telah mempamerkan hasil Projek Tahun Akhir mereka dalam bentuk inovasi dan penyelesaian kreatif yang berdaya saing.
Hari pertama pameran menyaksikan sesi penilaian projek oleh para pensyarah dari jabatan masing-masing. Hari kedua pula memberi ruang kepada wakil industri dan alumni untuk menjalankan penilaian serta memberikan maklum balas membina kepada para pelajar. Pendekatan penilaian dua hala ini bukan sahaja meningkatkan tahap kualiti projek, malah turut membuka peluang kolaborasi dan jaringan strategik antara pelajar, alumni dan industri.
Menurut Pengarah Program DiPX 2025, Ts Inv. Dr Rafizah binti Mohd Hanifa, penganjuran ini bukan sekadar platform mempamerkan projek, malah bertujuan memberi pendedahan langsung kepada pelajar tentang kehendak industri sebenar serta melatih mereka untuk berkomunikasi dan mempersembahkan idea secara lebih profesional.
Dekan CeDS, Dr Muhammad Faizal bin Ismail, dalam ucapannya turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah menjayakan program ini termasuk penyelia, panel penilai, urus setia, wakil industri, serta alumni yang sentiasa memberi sokongan padu kepada usaha CeDS dalam memperkasakan pelajar.
Turut hadir, Provost UTHM, Prof. Dr Afandi bin Ahmad, sebagai tetamu kehormat yang berbesar hati merasmikan program. Dalam ucapan perasmian, beliau menyeru agar warga UTHM, khususnya pelajar dan pensyarah, mengamalkan profesionalisme, berintegriti dalam melaksanakan tanggungjawab serta kreatif dalam mencari solusi, seiring dengan nilai teras universiti. Pesanan ini harus dihayati dan diamalkan oleh semua warga UTHM demi membudayakan integriti, profesionalisme dan inovasi dalam setiap tindakan.
Wakil dari Institution of Engineers, Malaysia (IEM), Ir David Phuen Ming Shuen, merupakan jemputan khas dan penaja utama karnival DipX 2025 turut sama hadir bagi memeriahkan program.
Program dua hari ini turut dimeriahkan dengan kehadiran tetamu jemputan, alumni, dan rakan industri yang menunjukkan minat mendalam terhadap hasil kerja pelajar dan sebahagiannya berpotensi untuk dikomersialkan atau dibangunkan lebih lanjut.
DiPX 2025 sekali lagi membuktikan peranannya bukan hanya sebagai medan pameran projek, tetapi sebagai pemangkin semangat inovasi, profesionalisme dan jaringan akademik-industri yang sejajar dengan aspirasi UTHM dalam melahirkan graduan holistik, berciri keusahawanan dan seimbang.
Diploma Project Exhibition (DiPX) 2025
Popular
-
UTHM dan Cosmo Skills Lahirkan Pelajar Diploma Kompeten Dalam Keselam… -
PAK Perdana CeDS 2025 Erat Hubungan Antara PAK dan Pelajar -
Lawatan Sambil Belajar Pelajar Diploma Teknologi Animasi di Warnakala… -
Tahap Pengetahuan Terhadap Kecerdasan Buatan Generatif dalam Kalangan… -
OBE Implementation Workshop Strengthens Academic Delivery at CeDS -
Bridging Classroom and Studio: A Deep Dive into Cyberjaya’s Animation… -
UTHM Memeterai MoU Bersama Cosmo Skills Sdn Bhd Untuk Memperkasa TVET… -
Dua Produk Inovasi CeDS Terpilih di Sesi Penilaian Produk Penyelidika… -
Staf Akademik UTHM Perkasa Industri Tempe Batu Pahat Melalui Lawatan… -
Lawatan Akademik Pelajar Diploma Kejuruteraan Elektrik ke Program Dis…
