Skip to main content

Berita

Bengkel Penghasilan Artikel Inovasi Berasaskan Produk

Oleh Dr Mohd Nurul Al-Hafiz bin Sha'abani
01 Julai 2025, 9:24 am
Bengkel Penghasilan Artikel Inovasi Berasaskan Produk

PAGOH: Satu sesi perkongsian ilmu bertajuk Penerbitan Berasaskan Produk Inovasi telah berjaya dianjurkan oleh Jawatankuasa Penerbitan, Pusat Pengajian Diploma (CeDS) secara dalam talian menerusi platform Google Meet.

Sesi yang berlangsung selama satu jam bermula jam 2.30 petang ini telah menampilkan Prof. Madya Ts Dr Mohd Fahrul bin Hassan, pensyarah dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP), UTHM sebagai penceramah jemputan. Beliau berkongsi secara mendalam tentang proses penghasilan artikel inovasi berasaskan produk serta hala tuju yang jelas bagi staf akademik.

Seramai 76 orang staf pelbagai fakulti telah mengesahkan kehadiran bagi sesi ini, menunjukkan sambutan yang amat memberangsangkan terhadap inisiatif ilmu seperti ini. Antara topik utama yang diketengahkan termasuklah cadangan proses produk inovasi, yang bermula daripada pernyataan masalah, menjana penyelesaian alternatif, membangunkan prototaip (proof-of-concept), sehinggalah menjadi produk inovasi sedia untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

Prof. Madya Dr Fahrul turut menekankan bahawa terdapat beberapa hala tuju penting yang perlu diberi perhatian oleh para staf dalam usaha mengembangkan produk inovasi masing-masing. Antara hala tuju tersebut termasuklah menyertai pameran produk inovasi sebagai platform pendedahan awal, mendaftarkan produk sebagai harta intelek (IP) untuk perlindungan undang-undang, serta memohon dana geran penyelidikan bagi membiayai pembangunan lanjut. Selain itu, beliau turut menggalakkan penerbitan artikel atau jurnal ilmiah berkaitan inovasi tersebut, mengambil peluang untuk menjadi teknopreneur, dan akhirnya membawa produk ke arah pengkomersialan secara berstrategik.

Sesi ini turut memperlihatkan minat para peserta dalam menjadikan hasil inovasi sebagai satu platform penerbitan serta peluang menjana impak industri. Program seperti ini diharap dapat meningkatkan penglibatan warga CeDS dalam ekosistem inovasi dan penerbitan, selaras dengan aspirasi universiti ke arah budaya penyelidikan dan pengkomersialan.