Skip to main content

Berita

Program Motivasi SPM di SMK Seri Intan Kluang Tekankan Strategi Kejayaan dan Sistem Meritokrasi UPU

Oleh Ts Inv. Dr Mohd Shahir bin Yahya
11 Julai 2025, 9:20 am
Program Motivasi SPM di SMK Seri Intan Kluang Tekankan Strategi Kejayaan dan Sistem Meritokrasi UPU

KLUANG: Seramai 118 orang murid Tingkatan 5 dari SMK Seri Intan, Kluang telah menyertai Program Motivasi Khas SPM yang berlangsung dengan jayanya pada hari ini. Program ini menghimpunkan pelajar daripada pelbagai aliran akademik, termasuk: pelajar kelas STEM A, kelas Akaun & Ekonomi, kelas gabungan Tasawwur Islam, Perniagaan dan Pendidikan Seni Visual (PSV) dan kelas Pendidikan Seni Visual (PSV) bersempena Jerayawara Seri Intan Fasa 2. Program ini bertujuan untuk membakar semangat pelajar SPM serta mempersiapkan mereka secara mental, emosi dan akademik menjelang peperiksaan utama negara.

Ts Inv. Dr Mohd Shahir bin Yahya, pensyarah kanan dari Pusat Pengajian Diploma (CeDS), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah dijemput sebagai penceramah jemputan. Beliau berkongsi topik bertajuk Motivasi Menuju Ke Puncak Menara Gading yang menyentuh aspek motivasi dalaman, pengurusan masa, disiplin belajar dan hala tuju selepas SPM. Satu aspek penting yang ditekankan dalam ceramah ini ialah kefahaman mengenai sistem meritokrasi UPU – iaitu kaedah pemilihan pelajar ke institusi pengajian tinggi awam berdasarkan gabungan 90% akademik dan 10% kokurikulum. Pelajar diberi penerangan terperinci tentang kiraan markah merit berdasarkan gred mata pelajaran teras dan elektif dan strategi pemilihan program pengajian yang sesuai dengan keputusan dan minat di samping kepentingan aktiviti kokurikulum yang berimpak dalam meningkatkan markah merit.

Penjelasan ini membuka mata pelajar tentang keperluan merancang awal dan bijak membuat pilihan berdasarkan kekuatan masing-masing, bukan semata-mata keputusan akademik. Para pelajar memberikan reaksi yang amat positif, malah ramai yang tampil bertanya lanjut mengenai laluan kerjaya, program diploma, asasi serta peluang di UTHM dan institusi lain. Mereka juga menyatakan kesedaran baharu terhadap keperluan untuk mencapai keputusan terbaik bagi melayakkan diri ke program pengajian yang diimpikan.

Program ini ditutup dengan sesi refleksi dan kata-kata semangat daripada penceramah, disulami harapan agar setiap pelajar SMK Seri Intan dapat mencipta kejayaan cemerlang dalam SPM 2025 dan seterusnya menempatkan diri di menara gading pilihan masing-masing. Pihak sekolah merakamkan penghargaan kepada Ts Inv. Dr Mohd Shahir atas perkongsian yang amat bermanfaat dan berharap agar program seumpama ini dapat diteruskan demi pembangunan holistik pelajar.