Skip to main content

Berita

Warga CeDS Berbakti dalam Program Gotong-Royong Madani di SK Kota Raja

Oleh Encik Muhammad Hanafi bin Asril Rajo Mantari
09 Ogos 2025, 8:19 pm
Warga CeDS Berbakti dalam Program Gotong-Royong Madani di SK Kota Raja

PANCHOR, MUAR: Baru sebulan melangkah ke alam universiti, para mahasiswa dan mahasiswi Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Kampus Pagoh telah diberi peluang berharga untuk berbakti kepada masyarakat setempat. Kali ini, Pusat Pengajian Diploma (CeDS) menerima jemputan daripada SK Kota Raja, Panchor, untuk berganding bahu bersama warga sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dalam Program Gotong-Royong Madani. Program yang bertarikh 9 Ogos 2025 itu bermula pada jam 9.00 pagi memberi tumpuan untuk memperindah dan menceriakan persekitaran sekolah dengan mengecat persekitaran sekolah.

Program yang disertai seramai 14 mahasiswa dan mahasiswi CeDS ambilan Semester Khas 2025 diketuai oleh Pensyarah CeDS, Encik Muhammad Hanafi bin Asril Rajo Mantari dan dibantu oleh Dr. Muhammad Sufi bin Roslan. Aktiviti kesukarelawan ini menjadi platform berinteraksi antara pelajar UTHM dengan warga setempat. Kerjasama ini menjadi contoh semangat komuniti Madani yang menitikberatkan kepedulian, kerjasama, dan tanggungjawab sosial.

Program yang berakhir pada jam 12:00 tengah hari itu diakhiri dengan majlis ringkas penyerahan cenderamata oleh Guru Besar SK Kota Raja, Puan Norhaimi binti Said, kepada Encik Muhammad Hanafi sebagai tanda penghargaan atas sumbangan masa dan tenaga. Pihak sekolah menyatakan hasrat untuk meneruskan kerjasama dengan UTHM demi manfaat bersama warga sekolah dan komuniti setempat.