Berita
Ceramah Industri: Membina Budaya Selamat Dari Kampus ke Tempat Kerja
PAGOH: Pusat Pengajian Diploma (CeDS), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui Jabatan Kejuruteraan Mekanikal telah berjaya menganjurkan program ceramah industri “Membina Budaya Selamat Dari Kampus ke Tempat Kerja” secara dalam talian melalui platform Google Meet.
Program yang berlangsung dari jam 8:00 malam hingga 10:00 malam ini telah disampaikan oleh Encik Mohamad Hasbullah bin Razalli, Perunding Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH Consultant) dari Cosmo Skills Sdn Bhd.
Sesi dimulakan dengan ucapan aluan oleh YBhg. Dekan CeDS, UTHM, yang menekankan kepentingan membudayakan amalan keselamatan dalam kalangan pelajar sejak di awal pengajian lagi.
Penceramah jemputan turut menegaskan bahawa amalan keselamatan bukan sekadar keperluan peraturan, sebaliknya merupakan satu budaya kerja yang mencerminkan sikap profesional, bertanggungjawab dan prihatin. Beliau menekankan bahawa pelajar adalah agen perubahan dalam menyebarkan budaya selamat ke seluruh ekosistem kerja.
Program ini telah mendapat sambutan luar biasa dengan penyertaan seramai lebih 400 peserta, yang terdiri daripada pelajar kursus Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) serta para pensyarah CeDS. Penyertaan aktif sepanjang sesi telah menjadikan perkongsian lebih interaktif dan memberi impak positif kepada semua yang hadir.
Penganjuran program ini membuktikan komitmen berterusan UTHM dalam memperkasakan kesedaran keselamatan dan kesihatan pekerjaan, seterusnya melahirkan graduan yang bukan sahaja berkemahiran teknikal tetapi juga memiliki budaya kerja yang selamat, profesional dan menepati keperluan industri.
Popular
-
Lawatan ke Industri Beri Pendedahan Kepada Teknologi Terkini Rawatan… -
Jadikan Diploma UTHM Pilihan Pertama Untuk ke Menara Gading -
Seramai 318 Pelajar CeDS Memperoleh Anugerah Dekan -
Artikulasi Kurikulum Bersama Kementerian Pendidikan Malaysia -
Projek Diploma Kejuruteraan Mekanikal Diiktiraf Industri di i-MECa21 -
Graduan CeDS Menerima Anugerah Khas Pada Konvokesyen Ke-16 -
CSR Nature Hero 2021 Wadah Tingkatkan Kepekaan Isu Alam Sekitar -
Advanced Global Project Based Learning 2.0 Wadah Kolaborasi Global -
Program Mobiliti Inbound Peringkat Antarabangsa Asah Kemahiran Reka B… -
Lawatan CeDS ke JPN Johor