Skip to main content

Berita

Pensyarah Diploma Teknologi Animasi Raih SKM Tahap 3 Perkhidmatan Sokongan Animasi

Oleh Dr Inv. Juliana binti Mohamed
16 Ogos 2025, 10:46 am
Pensyarah Diploma Teknologi Animasi Raih SKM Tahap 3 Perkhidmatan Sokongan Animasi

KUALA LUMPUR: Majlis Apresiasi Pembelajaran Sepanjang Hayat 2025 telah berlangsung di Panggung Eksperiment, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Kuala Lumpur pada 16 Ogos 2025. Tiga orang pensyarah dari Jabatan Teknologi Maklumat iaitu Dr Zuraida binti Ibrahim, Dr Inv. Juliana binti Mohamed dan Ts Bakhreza binti A. Talip telah hadir menerima Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 dalam Perkhidmatan Sokongan Animasi.

Selain mereka, terdapat beberapa lagi pensyarah dari Program Teknologi Animasi yang turut menamatkan SKM dalam bidang sama namun tidak dapat hadir pada majlis tersebut. Pusat Pengajian Diploma merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua graduan atas pencapaian ini.

Kejayaan ini membuktikan komitmen berterusan para pensyarah UTHM dalam meningkatkan kepakaran serta memperkukuh ilmu kemahiran praktikal bagi disalurkan kembali kepada para pelajar. Melalui pencapaian ini, mereka bukan sahaja menambah kredibiliti akademik, malah turut memperkukuh jaringan kerjasama dengan industri kreatif dan animasi tanah air.

Majlis tersebut dirasmikan oleh YBhg. Dato’ Shaharuddin bin Abu Sohot, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, dengan ucapan aluan daripada Prof. Dr Tan Awang Besar, Rektor ASWARA.

Selain penyampaian sijil SKM, majlis turut diserikan dengan persembahan oleh Malaysian Association for the Blind (MAB) serta pelajar pertukaran dari Guangxi Arts University, China.