ULU TIRAM: Seramai 29 orang staf Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menyertai program Joran Ukhwah CeDS 2025 anjuran Kelab Staf Pusat Pengajian Diploma (CeDS), bertempat di JDT Rumah Rakit.
Program santai ini bertujuan mempereratkan hubungan silaturahim dalam kalangan staf melalui aktiviti riadah memancing. Berbeza daripada pertandingan, aktiviti ini dilaksanakan dalam suasana santai dengan menekankan konsep kebersamaan, rehat minda dan mengeratkan hubungan kekeluargaan.
Turut hadir memeriahkan program ialah Dekan CeDS, YBhg. Dr Muhammad Faizal Ismail yang bersama-sama meluangkan masa bersama staf dalam suasana penuh ukhuwah.
Menurut penganjur, penganjuran program seperti ini menjadi medium penting untuk menyeimbangkan tuntutan kerja harian dengan gaya hidup sihat, selain membina semangat kekitaan dalam kalangan warga CeDS.
Joran Ukhwah CeDS 2025 sekali gus berjaya mencapai objektifnya dalam memperkukuhkan hubungan kekeluargaan, semangat kebersamaan serta kesejahteraan warga staf UTHM.