Berita
UTHM Tingkatkan Motivasi Pelajar SPM di SMA Lughatul Quran
TANGKAK: Seramai 60 orang pelajar Tingkatan 5 Sekolah Menengah Agama Lughatul Quran (SMALQ) telah menyertai Ceramah Motivasi Pelajar SPM sempena Program Jelajah Pendidikan / Orientasi Kenegaraan (Orientasi Karakter & Orientasi Kerjaya) yang berlangsung di Dewan Syed Idrus al-Habsyee, SMALQ. Program ini dianjurkan oleh Yayasan Pelajaran MARA dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Tangkak sebagai salah satu inisiatif memberi pendedahan mengenai maklumat pendidikan, kerjaya, serta motivasi kecemerlangan akademik.
Ceramah motivasi telah disampaikan oleh Ts Inv. Dr Mohd Shahir bin Yahya yang menekankan tiga segmen utama berbentuk diskusi interaktif bersama para pelajar. Segmen pertama, Impian Saya, memberi peluang pelajar menilai semula hala tuju masa depan mereka dengan menetapkan cita-cita yang jelas, realistik dan seimbang antara duniawi serta ukhrawi. Dr Mohd Shair menekankan bahawa impian yang besar perlu diiringi dengan usaha berterusan serta disiplin tinggi bagi mencapai kejayaan.
Segmen kedua, Meritokrasi??, mengupas isu semasa berkaitan keadilan dalam penilaian pencapaian akademik dan peluang pendidikan. Beliau menjelaskan bahawa meritokrasi menjadi asas penting dalam menentukan akses kepada pengajian tinggi dan biasiswa, namun para pelajar perlu sedar bahawa faktor lain seperti kemahiran insaniah, daya tahan serta sahsiah diri turut mempengaruhi kejayaan masa depan.
Manakala dalam segmen ketiga bertajuk motivasi semangat belajar, Belajar Smart, Cabaran Tak Lekat!, Ts Inv. Dr Mohd Shahir mengingatkan bahawa strategi belajar pintar lebih berkesan berbanding belajar semata-mata secara intensif tanpa perancangan. Beliau menekankan kepentingan teknik ulang kaji yang tersusun, kawalan masa, serta keseimbangan antara akademik, rehat, dan ibadah.
Program turut diselaras oleh Ts Inv. Mahmod Abd Hakim bin Mohamad selaku Penyelaras Sekolah Angkat, dengan sokongan Guru Bimbingan dan Kaunseling, Encik Mohd Alias bin Ramli dan Puan Nurul Hanim binti Miskun.
Kesimpulannya, program ini berjaya menyuntik inspirasi serta semangat baharu kepada para pelajar SPM di SMALQ untuk menghadapi peperiksaan dengan lebih yakin dan berstrategi. Pendedahan melalui ceramah ini bukan sahaja membuka minda mereka tentang hala tuju selepas SPM, malah turut membina motivasi dalaman untuk terus berusaha gigih mengejar kejayaan akademik serta kecemerlangan diri.
Ceramah Motivasi Pelajar SPM SMA Lughatul Quran
Popular
-
Lawatan ke Industri Beri Pendedahan Kepada Teknologi Terkini Rawatan… -
Jadikan Diploma UTHM Pilihan Pertama Untuk ke Menara Gading -
Seramai 318 Pelajar CeDS Memperoleh Anugerah Dekan -
Artikulasi Kurikulum Bersama Kementerian Pendidikan Malaysia -
Projek Diploma Kejuruteraan Mekanikal Diiktiraf Industri di i-MECa21 -
Graduan CeDS Menerima Anugerah Khas Pada Konvokesyen Ke-16 -
CSR Nature Hero 2021 Wadah Tingkatkan Kepekaan Isu Alam Sekitar -
Advanced Global Project Based Learning 2.0 Wadah Kolaborasi Global -
Program Mobiliti Inbound Peringkat Antarabangsa Asah Kemahiran Reka B… -
Lawatan CeDS ke JPN Johor