Berita
A-FEST 2025 Himpun Bakat Kreatif Animasi
PAGOH: Animation Festival: A-FEST 2025 anjuran Diploma Teknologi Animasi, Jabatan Teknologi Maklumat, Pusat Pengajian Diploma (CeDS), UTHM Cawangan Pagoh telah berlangsung dengan meriah selama tiga hari di Perpustakaan Gunasama Hab Pendidikan Tinggi Pagoh (HPTP). Program ini dirasmikan oleh Dr Muhammad Faizal bin Ismail, Dekan Pusat Pengajian Diploma, yang menzahirkan rasa bangga terhadap penganjuran tersebut kerana program Diploma Teknologi Animasi semakin mendapat sambutan yang menggalakkan dalam kalangan pelajar sekolah.
Program ini dianjurkan sepenuhnya oleh pelajar tahun dua Diploma Teknologi Animasi (DAG), dengan Akif Syahir bin Mohd Amram bertindak sebagai Pengarah Program dan En. Mokhtar bin Yahya sebagai Penasihat Program. Penglibatan aktif pelajar dalam perancangan serta pelaksanaan program ini turut memperlihatkan kematangan mereka dalam mengurus acara berskala besar.
A-FEST merupakan program dwitahunan yang menjadi platform utama pelajar Diploma Teknologi Animasi untuk mendapatkan pendedahan industri, menjalinkan kerjasama serta mempamerkan hasil kerja kreatif mereka. Penganjuran edisi 2025 turut menjadi sebahagian pengisian rasmi Hari Terbuka Perpustakaan Gunasama Hab Pendidikan Tinggi Pagoh, sekali gus menarik minat masyarakat setempat terhadap potensi bidang animasi digital.
Festival yang diadakan dari 14 hingga 16 Oktober 2025 ini menampilkan pelbagai aktiviti yang berasaskan inovasi dan kreativiti selaras perkembangan teknologi semasa. Pelajar turut berpeluang mempersembahkan projek animasi masing-masing kepada khalayak umum, warga kampus dan pihak industri, sambil mengetengahkan kemahiran teknikal serta keupayaan mereka bekerja secara berpasukan.
Hubungan dengan industri turut diperkukuh melalui penglibatan PTS Komikm Sdn Bhd, yang memainkan peranan penting dalam memberi pendedahan kepada pelajar mengenai skop industri komik dan animasi profesional. Kerjasama ini menyokong usaha UTHM melahirkan graduan yang bersedia memenuhi kehendak pasaran kreatif negara.
Secara keseluruhan, penganjuran A-FEST 2025 memberikan impak yang signifikan kepada pelajar, antaranya meningkatkan keyakinan diri, mengasah kemahiran kreatif dan memperkukuh pengetahuan praktikal dalam pengurusan projek animasi. Selain itu, festival ini turut menyemarakkan budaya seni di kampus, mengeratkan hubungan dalam kalangan mahasiswa serta memperluas penglibatan komuniti dalam aktiviti universiti.
A-FEST 2025 sekali lagi membuktikan komitmen CeDS dalam memperkasa pendidikan animasi dan terus melahirkan bakat kreatif yang berdaya saing serta mampu menyumbang kepada pembangunan industri animasi dan seni digital negara.
Popular
-
Lawatan ke Industri Beri Pendedahan Kepada Teknologi Terkini Rawatan… -
Jadikan Diploma UTHM Pilihan Pertama Untuk ke Menara Gading -
Seramai 318 Pelajar CeDS Memperoleh Anugerah Dekan -
Artikulasi Kurikulum Bersama Kementerian Pendidikan Malaysia -
Projek Diploma Kejuruteraan Mekanikal Diiktiraf Industri di i-MECa21 -
Graduan CeDS Menerima Anugerah Khas Pada Konvokesyen Ke-16 -
CSR Nature Hero 2021 Wadah Tingkatkan Kepekaan Isu Alam Sekitar -
Advanced Global Project Based Learning 2.0 Wadah Kolaborasi Global -
Program Mobiliti Inbound Peringkat Antarabangsa Asah Kemahiran Reka B… -
Lawatan CeDS ke JPN Johor