Skip to main content

Berita

Lawatan Industri ke Yakult Malaysia Perkasa Kefahaman Termodinamik Pelajar DAK UTHM

Oleh Dr Dilaeleyana binti Abu Bakar Sidik
18 Disember 2025, 2:37 pm
Lawatan Industri ke Yakult Malaysia Perkasa Kefahaman Termodinamik Pelajar DAK UTHM

SEREMBAN: Usaha memperkukuh pembelajaran berasaskan pengalaman industri terus diperkasakan apabila seramai 29 pelajar Tahun 2 Diploma Teknologi Kejuruteraan Kimia (DAK) dari Pusat Pengajian Diploma (CeDS), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bersama lapan orang pensyarah pengiring telah menyertai Program Lawatan Sambil Belajar ke Yakult Malaysia Sdn. Bhd. Program ini dilaksanakan bagi menyokong pembelajaran kursus Termodinamik (DAK20703) di bawah seliaan Dr Dilaeleyana binti Abu Bakar Sidik, dan merupakan anjuran bersama CeDS dan Kumpulan Fokus (FG) Sustainable and Renewable Resources Research Group (SURE).

Lawatan ini memberi peluang bermakna kepada pelajar untuk menyaksikan secara langsung bagaimana konsep Termodinamik diaplikasikan dalam operasi industri sebenar, khususnya dalam penghasilan minuman probiotik Yakult. Sepanjang lawatan, pelajar didedahkan kepada pelbagai proses pengeluaran seperti pemanasan, penyejukan, pensterilan dan fermentasi yang melibatkan imbangan tenaga, pemindahan haba serta kawalan kecekapan sistem yang selari dengan kandungan kursus yang dipelajari di dalam bilik kuliah.

Melalui pendekatan pembelajaran secara kontekstual ini, pelajar bukan sahaja dapat mengaitkan teori dengan amali, malah memperoleh gambaran jelas tentang persekitaran kerja sebenar industri kimia dan makanan. Pendedahan ini secara tidak langsung meningkatkan kefahaman, keyakinan diri serta kemahiran insaniah pelajar, sekali gus membantu mereka membuat persediaan awal sebelum melangkah ke alam pekerjaan.

Program ini turut memberi nilai tambah kepada pensyarah dan universiti. Bagi pensyarah, lawatan industri seperti ini memperkayakan kaedah pengajaran dan membuka ruang perkongsian ilmu serta amalan terbaik industri. Manakala kepada universiti, kerjasama strategik bersama industri seperti Yakult memperkukuh hubungan academia bersama industri, menyokong agenda kelestarian, dan meningkatkan reputasi UTHM sebagai institusi yang menitikberatkan pembelajaran holistik dan berimpak tinggi.

Secara keseluruhannya, program Lawatan Sambil Belajar ke Yakult Malaysia Sdn Bhd ini bukan sahaja berjaya mencapai objektif pembelajaran kursus Termodinamik, malah menyumbang kepada pembangunan pelajar yang berpengetahuan, berkemahiran dan peka terhadap kelestarian, sejajar dengan aspirasi pendidikan berteraskan industri yang digariskan oleh UTHM.


Lawatan Sambil Belajar ke Yakult Malaysia Sdn Bhd