Skip to main content

Berita

Siri Kuliah Industri: Penerokaan Evolusi Transistor Bersama Pakar STMicroelectronics

Oleh Inv. Dr Siti Noraiza binti Ab Razak
21 April 2026, 4:06 pm
Siri Kuliah Industri: Penerokaan Evolusi Transistor Bersama Pakar STMicroelectronics

PAGOH: Satu sesi perkongsian ilmu yang amat berinspirasi telah berlangsung hari ini di Auditorium 6, Hab Pendidikan Tinggi Pagoh, melibatkan pelajar Tahun 1 Diploma Sains Gunaan (DAU), Pusat Pengajian Diploma (CeDS), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bagi kursus Fundamentals of Electric and Electronics (DAU10203).

Kuliah bertajuk Basics of Transistors: From Valves to Switches and Amplifiers ini telah disampaikan oleh Encik Leslie Khoo, yang merupakan Ketua Jurutera (Principal Engineer) dari syarikat semikonduktor terkemuka dunia, STMicroelectronics. Encik Leslie Khoo mempunyai pengalaman hampir 30 tahun dalam bidang kejuruteraan dan semikonduktor

Encik Leslie Khoo merupakan figura yang berpengalaman luas dalam industri semikonduktor sejak menyertai STMicroelectronics pada tahun 1999. Beliau merupakan antara 10 ahli perintis bagi Pasukan Kejuruteraan Produk (Product Engineering Team) di bawah divisyen Telecom, Peripheral and Automotive (TPA) pada tahun 2004. Sepanjang kerjayanya, beliau telah memfailkan 10 rekaan berdaftar, termasuk memperkenalkan kaedah Extreme Studentized Deviation (ESD) untuk pengesan data luar (outlier) yang kini menjadi amalan standard kualiti korporat.

Encik Leslie Khoo juga aktif menulis pelbagai kertas kajian yang diterbitkan dalam jurnal dan prosiding IEEE. Beliau merupakan Jurulatih Pakar (Master Trainer) bertauliah yang telah melengkapkan lebih 300 kursus teknikal dan bukan teknikal sepanjang tempoh perkhidmatannya.

Dalam sesi tersebut, beliau telah berkongsi mengenai evolusi transistor daripada penggunaan injap (valves) sehingga kepada peranannya sebagai suis dan penguat (amplifier) dalam teknologi moden. Beliau turut menekankan kepentingan automasi dan analisis data dalam meningkatkan produktiviti kejuruteraan. Selain aspek teknikal, Encik Leslie turut memberikan pendedahan mengenai realiti kerjaya dalam bidang kejuruteraan elektronik serta kemahiran yang diperlukan untuk bersaing di peringkat global.

Program ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan universiti untuk memastikan pelajar mendapat pendedahan terus daripada pemain industri, sekali gus merapatkan jurang antara teori akademik dan amalan di lapangan. Sesi yang berlangsung selama dua jam bermula jam 10 pagi itu diakhiri dengan sesi soal jawab, menunjukkan minat yang tinggi para pelajar terhadap teknologi semikonduktor serta perkongsian yang telah disampaikan oleh penceramah.