Skip to main content

Berita

Menuju Kecemerlangan TVET: UMPSA–UTHM Selaras Program Diploma Dengan Standard ETAC

Oleh Dr Dilaeleyana binti Abu Bakar Sidik, Dr Basirah binti Fauzi, Dr Nur Shahirah binti Mohd Aripen, Ts Nurul Izzati binti Mohd Ismail
28 April 2026, 4:30 pm
Menuju Kecemerlangan TVET: UMPSA–UTHM Selaras Program Diploma Dengan Standard ETAC

PAGOH: Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus memperkukuh jaringan akademik apabila tiga wakil delegasi daripada Jabatan Teknologi Kimia, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah mengadakan lawatan penanda aras ke program Diploma Teknologi Kejuruteraan Kimia (DAK). Delegasi tersebut diketuai oleh Ketua Jabatan Teknologi Kimia UMPSA, Prof. Madya Ts Dr Saidatul Shima binti Jamari bersama dua lagi wakil akademik yang hadir bagi meninjau pelaksanaan program diploma serta berkongsi amalan terbaik dalam pengurusan kurikulum dan pembangunan pelajar. Manakala seramai 9 wakil dari program DAK, Pusat Pengajian Diploma, UTHM yang diketua oleh ketua Jabatan Sains dan Matematik Dr Norliza binti Ghazali turut terlibat bagi sesi tersebut.

Lawatan ini bukan sahaja bertujuan meneliti struktur program, kaedah pengajaran dan pembelajaran serta kemudahan makmal, malah memberi penekanan kepada keperluan pematuhan Akreditasi Engineering Technology Accreditation Council (ETAC) sebagai penanda aras utama dalam memastikan kualiti program sentiasa berada pada tahap terbaik. Melalui sesi perbincangan bersama pihak UTHM-UMPSA, kedua-dua universiti turut berkongsi pengalaman berkaitan pelaksanaan Outcome-Based Education (OBE), penyediaan dokumen bukti, penambahbaikan berterusan (CQI), serta strategi memastikan program diploma memenuhi standard akreditasi yang ditetapkan oleh ETAC.

Lawatan penanda aras ini menjadi platform penting untuk kedua-dua institusi menilai kekuatan program masing-masing serta mengenal pasti ruang penambahbaikan yang lebih efektif. Selain itu, lawatan ini turut membuka ruang kerjasama strategik antara UTHM dan UMPSA dalam aspek penyelidikan, perkongsian kepakaran, pembangunan kurikulum serta peningkatan kebolehpasaran graduan.

Pihak UTHM menyambut baik lawatan tersebut dan berharap hubungan akademik ini dapat diteruskan secara berterusan demi memperkukuh pendidikan TVET negara. Usaha ini dilihat sebagai langkah proaktif dalam memperkasakan program diploma teknologi kejuruteraan kimia agar kekal relevan, berdaya saing dan selari dengan aspirasi pendidikan tinggi negara.