Berita
Industrial Insights Buka Mata Pelajar Kejuruteraan Teroka Kerjaya Rawatan Air dan Keselamatan

PAGOH: Program Industrial Insights: Opportunities in Water Treatment & Safety berjaya dianjurkan secara dalam talian menerusi platform Google Meet, menarik penyertaan seramai 68 peserta pelajar dan pensyarah daripada pelbagai bidang kejuruteraan. Program anjuran Kumpulan fokus Sustainable and Renewable Resources (SURE), Pusat Pengajian Diploma (CeDS) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) ini bertujuan memberi pendedahan awal kepada mahasiswa mengenai peluang kerjaya dalam bidang kejuruteraan kimia, khususnya dalam sektor rawatan air dan keselamatan industri.
Sesi yang berlangsung selama satu jam bermula jam 2.30 petang itu menampilkan Puan Maskhairiah binti Ismail, ESH Assistant Manager dari Samsung SDI Energy (M) Sdn. Bhd., sebagai penceramah jemputan.Dalam perkongsiannya, beliau menekankan kepentingan kemahiran teknikal dan insaniah sebagai nilai tambah kepada graduan baharu. Selain itu, beliau turut berkongsi pengalaman sebenar dalam industri termasuk cabaran pengurusan keselamatan serta kepatuhan terhadap piawaian alam sekitar yang semakin ketat.
Menariknya, beliau turut menghuraikan secara ringkas amalan rawatan air di Samsung SDI, termasuk penggunaan sistem rawatan air sisa industri yang menitikberatkan pematuhan kepada standard pelepasan yang ditetapkan. Proses rawatan ini melibatkan beberapa peringkat seperti rawatan fizikal, kimia dan biologi bagi memastikan air yang dilepaskan adalah selamat kepada alam sekitar. Pendekatan ini mencerminkan komitmen industri terhadap kelestarian dan pengurusan sumber air yang bertanggungjawab.
“Pelajar perlu bersedia menghadapi realiti industri yang menuntut kecekapan, disiplin serta keupayaan menyelesaikan masalah secara kritikal”, jelas beliau. Perkongsian tersebut membuka mata peserta tentang kepentingan bidang rawatan air yang merupakan satu sektor yang semakin berkembang sejajar dengan keperluan kelestarian global. Program ini juga memberi peluang kepada peserta untuk berinteraksi secara langsung melalui sesi soal jawab, di mana pelajar dapat mengemukakan pertanyaan berkaitan laluan kerjaya, peluang pekerjaan serta kemahiran yang diperlukan dalam industri. Secara keseluruhannya, program ini berjaya mencapai objektifnya dalam membantu mahasiswa memahami hala tuju kerjaya selepas tamat pengajian serta meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan bidang keselamatan dan rawatan air dalam industri moden. Diharapkan lebih banyak program seumpama ini dapat dianjurkan pada masa hadapan bagi merapatkan jurang antara dunia akademik dan industri.
Popular
-
UTHM dan Cosmo Skills Lahirkan Pelajar Diploma Kompeten Dalam Keselam… -
PAK Perdana CeDS 2025 Erat Hubungan Antara PAK dan Pelajar -
Lawatan Sambil Belajar Pelajar Diploma Teknologi Animasi di Warnakala… -
Tahap Pengetahuan Terhadap Kecerdasan Buatan Generatif dalam Kalangan… -
OBE Implementation Workshop Strengthens Academic Delivery at CeDS -
Bridging Classroom and Studio: A Deep Dive into Cyberjaya’s Animation… -
UTHM Memeterai MoU Bersama Cosmo Skills Sdn Bhd Untuk Memperkasa TVET… -
Dua Produk Inovasi CeDS Terpilih di Sesi Penilaian Produk Penyelidika… -
Staf Akademik UTHM Perkasa Industri Tempe Batu Pahat Melalui Lawatan… -
Lawatan Akademik Pelajar Diploma Kejuruteraan Elektrik ke Program Dis…
