Skip to main content

Berita

CeDS UTHM Pagoh Sertai Program Training for Learning Disabilities Tingkat Kefahaman Berkaitan Autisme dan ADHD

Oleh Ts Inv. Mahmod Abd Hakim bin Mohamad
13 Mei 2026, 5:11 pm
CeDS UTHM Pagoh Sertai Program Training for Learning Disabilities Tingkat Kefahaman Berkaitan Autisme dan ADHD

PAGOH: Program Training for Learning Disabilities anjuran Unit Kaunseling, UTHM Kampus Cawangan Pagoh telah berjaya dilaksanakan di Bilik Mesyuarat 3, UTHM Kampus Cawangan Pagoh dengan penyertaan warga staf UTHM termasuk daripada Pusat Pengajian Diploma (CeDS).

Program yang berlangsung bermula jam 8.30 pagi hingga 5.00 petang ini bertemakan Memahami Autisme, ADHD dan Cabaran Pembelajaran Secara Menyeluruh dan memberi fokus kepada pemahaman, pengurusan serta pendekatan yang sesuai dalam membantu mahasiswa/i istimewa yang berdepan cabaran pembelajaran khususnya melibatkan kategori Kecelaruan Kurang Daya Tumpuan dan Hiperaktif (ADHD) dan lain-lain ketidakupayaan pembelajaran.

Sesi perkongsian ilmu telah disampaikan oleh Khairiah Abdul Razak, Ahli Psikologi Klinikal Kanan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, yang berkongsi pelbagai input berkaitan ciri-ciri utama autisme dan ADHD, cabaran akademik yang sering dihadapi pelajar, kaedah mengenal pasti tanda-tanda awal serta strategi pengurusan dan intervensi yang lebih efektif dalam konteks pendidikan tinggi.

Sepanjang program, peserta turut didedahkan kepada pendekatan komunikasi, sokongan emosi serta kaedah pembelajaran yang lebih inklusif bagi membantu pelajar mencapai potensi optimum mereka. Pendedahan ini amat penting khususnya kepada warga pendidik dan staf yang berinteraksi secara langsung dengan pelajar dalam memastikan kebajikan serta kesejahteraan pembelajaran mereka terus diperkasa.

Seramai 25 orang kakitangan UTHM telah menyertai program ini, sekali gus menunjukkan komitmen universiti dalam memperkukuh kefahaman warga staf terhadap keperluan pembelajaran pelajar yang pelbagai. Penyertaan secara walk-in tanpa pendaftaran awal turut memudahkan penglibatan staf dalam program berbentuk pembangunan kompetensi ini.

Penganjuran program ini diharapkan dapat memberi manfaat yang besar kepada warga UTHM dalam meningkatkan keupayaan mengurus dan memahami pelajar berkeperluan khas secara lebih menyeluruh, sekali gus menyokong agenda pendidikan inklusif di universiti.

Unit Kaunseling UTHM Kampus Cawangan Pagoh bersama Jawatankuasa Kemajuan Akademik Pusat Pengajian Diploma (CeDS) merakamkan penghargaan kepada semua peserta yang hadir dan berharap program seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan demi kesejahteraan dan kecemerlangan mahasiswa.