Skip to main content

Berita

Pengiktirafan Antarabangsa Buat Staf CeDS Melalui Pelantikan UNESCO-UNEVOC

Oleh Ts Eddy Irwan Shah bin Saadon
20 Mei 2026, 8:58 pm
Pengiktirafan Antarabangsa Buat Staf CeDS Melalui Pelantikan UNESCO-UNEVOC

PARIT RAJA: Pusat Pengajian Diploma (CeDS), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Dr Zainab binti Zainal daripada Jabatan Kejuruteraan Elektrik, CeDS atas pelantikan sebagai Gender Equality and Social Inclusion (GESI) Focal Point bagi rangkaian UNESCO-UNEVOC Network.

Pelantikan tersebut diumumkan menerusi surat rasmi daripada UNESCO-UNEVOC International Centre for Technical and Vocational Education and Training (TVET) bertarikh 11 Mei 2026, sebagai pengiktirafan terhadap kejayaan penyertaan wakil institusi dalam Gender Equality and Social Inclusion (GESI) Programme 2026.

Dr Zainab telah dilantik sebagai wakil GESI Focal Point bagi UNEVOC Centre UTHM bersama seorang lagi wakil institusi, bagi menyokong agenda pembangunan pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET) yang lebih inklusif dan saksama di peringkat institusi serta antarabangsa.

Antara peranan utama GESI Focal Point adalah menyokong integrasi prinsip Gender Equality and Social Inclusion (GESI) dalam dasar, program dan amalan institusi TVET, menjadi penghubung utama bagi inisiatif berkaitan GESI dalam rangkaian UNESCO-UNEVOC, selain memperkukuh perkongsian ilmu, kolaborasi serta pelaksanaan projek berkaitan pembangunan TVET yang inklusif.

Pelantikan ini mencerminkan komitmen warga akademik CeDS dan Jabatan Kejuruteraan Elektrik dalam memperkasakan kecemerlangan pendidikan, pembangunan komuniti serta penglibatan aktif di peringkat global sejajar dengan aspirasi universiti ke arah pendidikan berkualiti dan pembangunan mampan.

Pusat Pengajian Diploma mengucapkan tahniah kepada Dr Zainab binti Zainal atas pencapaian ini dan berharap pelantikan tersebut akan terus menyumbang kepada pengukuhan agenda TVET inklusif di peringkat nasional dan antarabangsa.