Skip to main content

Berita

Plot Like a Pro: Menguasai Graf Saintifik Profesional dengan Origin

Oleh Dr Dilaeleyana bin Abu Bakar Sidik
07 Jun 2026, 4:35 pm
Plot Like a Pro: Menguasai Graf Saintifik Profesional dengan Origin

PAGOH: Seramai 68 orang pelajar Tahun 1 dan Tahun 2 Diploma Teknologi Kejuruteraan Kimia (DAK), Pusat Pengajian Diploma (CeDS), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menyertai program “Plot Like a Pro: Scientific Graphing with Origin” yang berlangsung secara dalam talian menerusi platform Google Meet.

Program selama 2 jam ini bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar mengenai penggunaan perisian Origin dalam menghasilkan graf saintifik yang berkualiti tinggi, profesional dan menepati piawaian penulisan laporan teknikal serta penerbitan akademik. Sepanjang bengkel berlangsung, peserta telah diperkenalkan dengan teknik asas dan lanjutan dalam penyediaan graf, pemformatan data, analisis statistik serta penghasilan visualisasi data yang lebih efektif.

Penganjuran program ini dilihat selari dengan keperluan pendidikan berasaskan hasil pembelajaran yang menekankan penguasaan kemahiran digital dan penggunaan perisian kejuruteraan dalam kalangan pelajar. Melalui latihan amali yang dijalankan, pelajar berpeluang meningkatkan kecekapan dalam mengendalikan data eksperimen serta mempersembahkan hasil analisis secara sistematik dan profesional. Kemahiran ini amat penting dalam pelaksanaan projek, tugasan makmal, penyelidikan dan penyediaan laporan teknikal sepanjang pengajian.

Selain itu, program ini turut menyokong keperluan Engineering Technology Accreditation Council (ETAC) yang menggalakkan penggunaan teknik, sumber dan alat moden dalam penyelesaian masalah kejuruteraan. Penguasaan perisian seperti Origin membantu pelajar membangunkan kompetensi dalam penggunaan teknologi dan perisian analisis data yang relevan dengan amalan industri serta keperluan profesion teknologi kejuruteraan masa kini.

Secara keseluruhannya, program ini berjaya mencapai objektif yang ditetapkan dan menerima maklum balas positif daripada para peserta. Diharapkan penganjuran program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi memperkukuhkan kemahiran analisis data, visualisasi saintifik dan penggunaan perisian moden dalam kalangan pelajar DAK selaras dengan aspirasi UTHM.