Skip to main content

Berita

UTHM Perkukuh Hubungan Industri, Meterai MOA Bersama Cosmo Skills

Oleh Ts Inv. Mohd Shahir bin Yahya, Ts Inv. Mahmod Abd Hakim bin Mohamad
15 Julai 2026, 5:30 pm
UTHM Perkukuh Hubungan Industri, Meterai MOA Bersama Cosmo Skills

SUNGAI UDANG: Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus memperkukuhkan jaringan strategik bersama industri apabila memeterai Memorandum Perjanjian (MOA) dengan Cosmo Skills Sdn Bhd dalam satu majlis yang berlangsung di Pejabat Cosmo Skills Sdn Bhd, hari ini.

Majlis tersebut disusuli dengan sesi perbincangan strategik yang memberi fokus kepada pelaksanaan Projek Pembangunan Produk, melibatkan kerjasama dalam bidang penyelidikan gunaan, inovasi produk, pembangunan prototaip, pengujian produk, pemindahan teknologi serta pembangunan modal insan bagi memenuhi keperluan industri semasa.

Delegasi UTHM diketuai oleh Ts Inv. Dr Mohd Shahir bin Yahya bersama Ts Inv. Mahmod Abd Hakim bin Mohamad, manakala pihak Cosmo Skills Sdn Bhd diketuai oleh Ts Azhar bin Ahamat, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) serta Tuan Haji Mohd Zaki bin Hassan, Ketua Pegawai Operasi (COO).

Melalui kerjasama ini, kedua-dua organisasi beriltizam menggabungkan kekuatan kepakaran akademik dan pengalaman industri bagi membangunkan produk yang inovatif, berkualiti tinggi serta mempunyai potensi untuk dikomersialkan. Kolaborasi ini juga dijangka membuka lebih banyak peluang kepada pensyarah dan pelajar UTHM untuk terlibat secara langsung dalam projek pembangunan produk, penyelidikan berimpak tinggi, latihan industri serta perkongsian kepakaran teknikal.

Selain itu, perbincangan turut menyentuh pelaksanaan pelbagai aktiviti bersama termasuk bengkel teknikal, program latihan profesional, pembangunan kompetensi tenaga kerja, penyeliaan projek industri, khidmat rundingan serta penerokaan peluang geran penyelidikan dan inovasi yang mampu memberikan manfaat kepada kedua-dua pihak.

Majlis penandatanganan MOA ini mencerminkan komitmen berterusan UTHM dalam memperkukuh hubungan strategik dengan rakan industri bagi melahirkan graduan yang kompeten, memperkasa penyelidikan gunaan serta menghasilkan inovasi yang mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat.

Diharapkan jalinan kerjasama strategik antara UTHM dan Cosmo Skills Sdn Bhd akan menjadi pemangkin kepada pelaksanaan lebih banyak projek berimpak tinggi, seterusnya mengukuhkan kedudukan kedua-dua organisasi sebagai peneraju dalam pembangunan teknologi, inovasi dan modal insan negara.