Skip to main content

Berita

Anjung Santun CeDS Teruskan Inisiatif Membantu Kebajikan Pelajar

Oleh Ts Nur Azliza binti Ahmad
16 April 2026, 7:25 pm
Anjung Santun CeDS Teruskan Inisiatif Membantu Kebajikan Pelajar

PAGOH: Anjung Santun merupakan inisiatif kebajikan anjuran Jawatankuasa Bakat, Kebajikan dan Kesukarelawanan, Hal Ehwal Pelajar (HEPA), Pusat Pengajian Diploma (CeDS), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Kampus Pagoh yang diketuai oleh Ts Nur Azliza binti Ahmad, terus giat dilaksanakan bagi menyantuni dan meringankan beban perbelanjaan harian pelajar.

Program ini telah dilancarkan oleh YBrs. Dr Muhammad Faizal bin Ismail, Dekan Pusat Pengajian Diploma bersama pihak pengurusan CeDS pada 16 April 2026, sempena Semester 2 Sesi 2025/2026 bermula, sebagai manifestasi komitmen pengurusan universiti dalam memastikan kesejahteraan pelajar sentiasa menjadi keutamaan sepanjang tempoh pengajian mereka.

Sepanjang semester ini, Anjung Santun telah melaksanakan agihan makanan dan alat tulis percuma hasil sumbangan serta keprihatinan barisan pensyarah dan staf CeDS, sekali gus memperlihatkan semangat kekitaan dan tanggungjawab sosial yang tinggi dalam kalangan warga kampus terhadap kebajikan anak didik mereka.

Program ini menyediakan pelbagai bentuk bantuan makanan dan keperluan asas secara percuma sepanjang minggu. Setiap hari Selasa, pelajar boleh mendapatkan roti Gardenia percuma, manakala setiap hari Jumaat pula disediakan nasi lemak percuma untuk seluruh pelajar CeDS.

Selain itu, makanan kering seperti biskut serta alat tulis turut disediakan secara percuma pada setiap hari, bermula jam 10 pagi sehingga stok masih ada, bertempat di Pejabat Timb. Dekan CeDS, Aras 2, Wing Kiri, UTHM Pagoh. Kesinambungan bantuan harian ini membuktikan keprihatinan pihak pengurusan bukan sekadar bersifat musiman, malah dilaksanakan secara konsisten demi memastikan tiada pelajar yang tercicir daripada mendapat sokongan yang mereka perlukan.

Pelajar hanya perlu mengimbas kod QR yang disediakan sebelum mengambil makanan, dan digalakkan mengambil mengikut keperluan supaya lebih ramai turut dapat merasainya. Pendekatan ini turut memupuk nilai amanah, empati dan sikap bertimbang rasa sesama pelajar, selaras dengan hasrat universiti untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, tetapi turut mempunyai jati diri dan sahsiah yang terpuji.

Sokongan padu barisan pensyarah, staf serta pihak pengurusan CeDS dalam menjayakan inisiatif ini juga mencerminkan budaya kerja berteraskan kasih sayang dan keprihatinan yang menjadi teras kepada visi universiti dalam membentuk sebuah ekosistem kampus yang bukan sahaja unggul dari segi akademik, malah turut menyantuni kebajikan dan kesejahteraan setiap ahlinya.

Secara keseluruhannya, kesinambungan Anjung Santun sepanjang semester ini menjadi bukti nyata komitmen staf dan pensyarah CeDS UTHM dalam memastikan tiada pelajar yang tercicir dan setiap seorang mendapat peluang saksama untuk berkembang dalam suasana kampus yang penyayang, prihatin serta saling membantu.