Skip to main content

Berita

Celik Kelestarian: Pelajar UTHM Selami Operasi Loji Rawatan Air Sisa IWK

Oleh Dr Dilaeleyana binti Abu Bakar Sidik
08 Julai 2026, 5:59 pm
Celik Kelestarian: Pelajar UTHM Selami Operasi Loji Rawatan Air Sisa IWK

MELAKA: Seramai 30 orang pelajar Diploma Teknologi Kejuruteraan Kimia (1 DAK), Pusat Pengajian Diploma (CeDS), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bersama empat orang pensyarah pengiring telah mengadakan lawatan sambil belajar ke loji rawatan Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd di Melaka.

Program akademik ini dianjurkan khas bagi memenuhi keperluan kursus Teknologi Rawatan Air Sisa DAK10802. Lawatan tersebut bertujuan memberikan pendedahan secara praktikal kepada para pelajar berkaitan operasi loji kumbahan, pengurusan air sisa, serta peranan IWK dalam menjaga kelestarian alam sekitar.

Sesi dimulakan dengan taklimat keselamatan dan penerangan korporat oleh pihak pengurusan IWK bagi memberi pendedahan awal mengenai latar belakang syarikat dan alur proses rawatan kumbahan. Seterusnya, para peserta dibawakan melawat fasiliti loji untuk melihat sendiri aliran pengurusan sisa secara terperinci.

Peluang berinteraksi secara terus dengan pakar industri turut dimanfaatkan oleh para pelajar untuk mengemukakan pelbagai soalan teknikal berkaitan teknologi rawatan serta tempoh masa operasi loji. Pendedahan ini secara tidak langsung berjaya merapatkan jurang antara teori akademik di bilik kuliah dengan aplikasi sebenar di industri.

Melalui lawatan ini, pengetahuan para pelajar dalam bidang pengurusan sisa berjaya dipertingkatkan. Pengalaman praktikal ini diharap dapat menyuntik inspirasi dan motivasi kepada para pelajar untuk menceburi kerjaya dalam bidang kejuruteraan alam sekitar pada masa hadapan. Bagi pihak UTHM, jaringan strategik bersama IWK ini memperkasakan hubungan universiti-industri, sekali gus meningkatkan kualiti kurikulum berasaskan amalan sebenar dan kebolehpasaran graduan dalam bidang kejuruteraan alam sekitar.