Skip to main content

Berita

11 Projek Inovasi CeDS UTHM Raih 11 Pingat di AIoTIE 2026

Oleh Dr Zainab binti Zainal, Ts Dr Hazlini binti Dzinun
10 September 2026, 9:53 pm
11 Projek Inovasi CeDS UTHM Raih 11 Pingat di AIoTIE 2026

PAGOH: Pusat Pengajian Diploma (CeDS), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) mencatatkan pencapaian membanggakan apabila 11 projek inovasi pelajar berjaya meraih 3 pingat Emas, 6 pingat Perak dan 2 pingat Gangsa dalam 3rd Artificial Intelligence and Internet of Things International Innovation Expo 2026 (AIoTIE 2026) yang berlangsung secara dalam talian pada 9 September 2026.

Penyertaan tersebut melibatkan pelajar dan penyelia daripada Jabatan Teknologi Maklumat serta Jabatan Kejuruteraan Elektrik, CeDS, dengan kesemua projek yang dipertandingkan merupakan hasil inovasi dan projek tahun akhir pelajar.

AIoTIE 2026 merupakan platform inovasi bertaraf antarabangsa yang memberi tumpuan kepada pembangunan idea, produk dan penyelesaian berasaskan Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence, AI) dan Internet of Things (IoT). Edisi kali ini menghimpunkan sebanyak 171 projek daripada 38 institusi di tiga negara, sekali gus menyediakan ruang kepada para peserta untuk mengetengahkan hasil inovasi serta kreativiti mereka ke peringkat antarabangsa.

Pencapaian yang diraih oleh CeDS ini bukan sahaja mencerminkan kualiti dan potensi projek tahun akhir pelajar, malah membuktikan keupayaan mereka dalam menghasilkan penyelesaian teknologi yang kreatif, relevan dan berdaya saing.

Penglibatan dalam AIoTIE 2026 turut memberikan pengalaman bermakna kepada para pelajar dalam mempersembahkan hasil inovasi di pentas antarabangsa. Penyertaan ini secara tidak langsung memperkukuh keyakinan diri, kemahiran komunikasi dan pembentangan, kreativiti, pemikiran kritis serta keupayaan menyelesaikan masalah dalam kalangan pelajar.

Kejayaan ini turut mencerminkan komitmen berterusan CeDS dalam menyediakan ekosistem pembelajaran yang menggalakkan inovasi, kreativiti dan penerapan teknologi semasa dalam pembangunan projek pelajar.
Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua pemenang, peserta dan para penyelia atas komitmen, dedikasi serta bimbingan yang diberikan. Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak pencapaian inovasi CeDS UTHM di peringkat kebangsaan dan antarabangsa pada masa akan datang.