Skip to main content

Berita

Menelusuri Amalan Terbaik: Penanda Arasan Akademik DAU UTHM ke UiTM Tapah

Oleh Dr Nurhana binti Mohamad
10 September 2026, 10:03 pm
Menelusuri Amalan Terbaik: Penanda Arasan Akademik DAU UTHM ke UiTM Tapah

PAGOH: Pusat Pengajian Diploma (CeDS), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menerusi Jabatan Sains dan Matematik telah menganjurkan program Lawatan Penanda Aras Diploma Sains Gunaan (DAU) ke bersama Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Tapah, Perak. Program yang berlangsung secara dalam talian menerusi platform Google Meet ini diadakan pada 10 September 2026, bermula jam 9.00 pagi hingga 1.00 petang.

Program penanda aras ini merupakan satu inisiatif strategik CeDS UTHM dalam usaha memperkukuh kualiti penawaran dan pengurusan akademik program Diploma Sains Gunaan. Melalui program ini, warga DAU berpeluang mendapatkan pendedahan serta berkongsi pengalaman dan amalan terbaik bersama pihak program Diploma Sains, UiTM Cawangan Tapah, khususnya dalam aspek pengurusan program, pelaksanaan kurikulum, pengajaran dan pembelajaran serta perkara-perkara berkaitan pengurusan akademik.

Sesi pengenalan dan penerangan program di mulakan oleh Dr Fathiah binti Abdullah, selaku Ketua Pusat Pengajian, Fakulti Sains Gunaan, dari UiTM. Seterusnya, Dr Norliza binti Ghazali selaku Ketua Jabatan Sains dan Matematik, Pusat Pengajian Diploma dari UTHM menerangkan latar belakang UTHM dan Pengurusan Pusat Pengajian Diploma. Inv. Dr Siti Noraiza binti Ab Razak, selaku Ketua Program DAU, seterusnya menerangkan secara terperinci berkenaan Program Diploma Sains Gunaan. Program ini turut melibatkan pasukan akademik UiTM yang diketuai oleh Dr Fathiah binti Abdullah, Ketua Pusat Pengajian, Fakulti Sains Gunaan, UiTM, bersama barisan akademiknya.

Program penanda aras ini memberi ruang kepada ke dua-dua program membincangkan mengenai cabaran semasa dalam pengendalian program diploma berasaskan sains, mengenal pasti pendekatan yang boleh diterapkan bagi meningkatkan kualiti dan keberkesanan pengurusan akademik, serta menjadi platform perkongsian ilmu antara kedua-dua institusi. Diharapkan program ini dapat memperkukuh jaringan kerjasama akademik antara UTHM dan UiTM, di samping menjadi medium berterusan dalam perkongsian amalan terbaik dan penambahbaikan kualiti program Diploma Sains Gunaan. Inisiatif seumpama ini juga selaras dengan usaha CeDS UTHM untuk memastikan program akademik yang ditawarkan sentiasa relevan, berkualiti dan responsif terhadap keperluan semasa pendidikan tinggi serta industri.

Secara keseluruhannya, program ini bukan sahaja memberi manfaat dari aspek perkongsian pengetahuan dan pengalaman, malah menjadi pemangkin kepada pembentukan jaringan akademik yang lebih kukuh antara kedua-dua institusi dalam usaha memperkasakan pendidikan sains di peringkat diploma.