Skip to main content

Berita

Lawatan Pemeriksa Luar Perkukuh Kualiti Program Diploma Teknologi Animasi UTHM

Oleh Ts Muhammad Fazrulhelmi bin Ahmad
11 September 2026, 5:12 pm
Lawatan Pemeriksa Luar Perkukuh Kualiti Program Diploma Teknologi Animasi UTHM

PAGOH: Program Diploma Teknologi Animasi, Pusat Pengajian Diploma (CeDS), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menerima Lawatan Pemeriksa Luar Program Diploma Teknologi Animasi pada 11 September 2026 di UTHM Pagoh. Lawatan tersebut melibatkan Dr Mohd Rosli bin Arshad, Dekan Pusat Pengajian Pasca Siswazah, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), yang dilantik sebagai Pemeriksa Luar bagi Program Diploma Teknologi Animasi (DAG).

Turut terlibat dalam sesi lawatan dan penilaian tersebut ialah barisan staf akademik Program DAG, iaitu Dr Syarizul Amri bin Mohd Dzulkifli, Ts Muhammad Fazrulhelmi bin Ahmad, Encik Mohammad Haikal Danial bin Mohammad Jota dan Encik Mohamad Fazirul Rafiq bin Afandi. Lawatan ini merupakan salah satu mekanisme jaminan kualiti akademik bagi menilai pelaksanaan program secara menyeluruh serta memastikan kandungan kurikulum, kaedah pengajaran dan pembelajaran, sistem pentaksiran serta kemudahan akademik yang disediakan sentiasa relevan dengan perkembangan semasa dalam bidang teknologi animasi.

Sepanjang lawatan, Pemeriksa Luar telah diberikan penerangan mengenai pelaksanaan Program Diploma Teknologi Animasi, diikuti dengan sesi semakan dokumen program dan perbincangan bersama staf akademik DAG. Sesi tersebut memberi peluang kepada pihak program untuk mendapatkan pandangan serta cadangan penambahbaikan daripada perspektif pakar luar. Pemeriksa Luar turut dibawa melawat Makmal Grafik dan Animasi dan Makmal SAVA bagi melihat kemudahan pengajaran dan pembelajaran yang digunakan oleh pelajar.

Lawatan tersebut memberi gambaran secara langsung mengenai persekitaran pembelajaran, kemudahan komputer serta fasiliti yang disediakan bagi menyokong aktiviti pembelajaran dalam bidang grafik, multimedia dan animasi. Selain aspek kemudahan, perbincangan turut memberi tumpuan kepada pelaksanaan kurikulum, pencapaian pelajar, kaedah pentaksiran serta kesesuaian program dalam memenuhi keperluan industri kreatif dan perkembangan teknologi semasa.

Pada akhir sesi, Pemeriksa Luar menyediakan laporan penilaian berdasarkan dapatan sepanjang lawatan sebelum program diakhiri dengan sesi bergambar dan penyampaian tanda penghargaan. Lawatan ini diharapkan dapat memberi input yang konstruktif kepada Program Diploma Teknologi Animasi dalam usaha melaksanakan penambahbaikan berterusan (continuous quality improvement, CQI). Maklum balas yang diterima daripada Pemeriksa Luar akan dijadikan rujukan penting dalam memperkukuh kualiti akademik, kesesuaian kurikulum serta pengalaman pembelajaran pelajar.

Secara keseluruhannya, Lawatan Pemeriksa Luar Program Diploma Teknologi Animasi mencerminkan komitmen CeDS UTHM dalam memastikan program yang ditawarkan sentiasa berkualiti, relevan dan mampu melahirkan graduan yang kompeten serta memenuhi keperluan industri animasi dan kreatif.