Berita
UTHM Ketengahkan Karya Pelajar Animasi, Bina Jaringan Kreatif di ANIFEST-X 2026

KUALA LUMPUR: Program Diploma Teknologi Animasi, Pusat Pengajian Diploma (CeDS), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menyertai ANIFEST-X 2026 pada 3 hingga 4 Oktober lalu di KL Gateway Mall bagi memperkenalkan peluang pengajian serta mengetengahkan hasil karya pelajar kepada masyarakat dan komuniti kreatif.
Festival anjuran Persatuan Festival Seni Kreatif dan TVET Malaysia (ANIFEST) itu merupakan edisi ke-10 dengan tema 1 Dekad, Sejuta Inspirasi, yang menghimpunkan penggiat seni, institusi pendidikan dan pemain industri dalam bidang animasi, komik, ilustrasi serta seni kreatif digital.
Antara penggiat seni yang turut hadir ialah Ben Wong, artis komik yang dikenali menerusi karya terbitan Gempak Starz seperti Le Gardenie; Ujang atau Ibrahim Anon, kartunis terkenal dengan karya Aku Budak Minang dan Usop Sontorian; serta Hassan Abd Muthalib, tokoh perintis yang dikenali sebagai Bapa Animasi Malaysia.
Melalui pembukaan reruai, CeDS UTHM menampilkan tayangan animasi pelajar, pameran hasil kerja dan portfolio serta jualan hasil karya pelajar. Pengunjung turut berpeluang mendapatkan penerangan tentang Program Diploma Teknologi Animasi serta program diploma lain di bawah CeDS yang ditawarkan di UTHM Kampus Pagoh, Johor.
Penyertaan tersebut melibatkan lima staf CeDS, iaitu Ts Muhammad Fazrulhelmi bin Ahmad, Mohamad Fazirul Rafiq bin Afandi, Mohammad Haikal Danial bin Mohammad Jota, Ts Muhammad Amirul Razali dan Dr Mohd Khairul Nizam bin Mohd Zuhan.
Sepanjang dua hari program, reruai UTHM menerima kunjungan daripada warga institusi pendidikan, pelajar sekolah, penggiat kreatif dan wakil studio animasi. Interaksi ini memberi ruang kepada wakil program untuk memperkenalkan peluang pengajian di CeDS serta berkongsi hasil pembelajaran dan potensi pelajar animasi kepada khalayak di luar Johor.
Selain promosi, penyertaan tersebut membuka peluang membina jaringan awal bersama penggiat industri dan institusi pendidikan. Antara pihak yang ditemui ialah Sahabat Komik (SAKO+) Malaysia, wakil Fakulti Pengkomputeran dan Multimedia, Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM), serta Content Forum, badan kawal selia kendiri industri yang menggalakkan kandungan beretika melalui Kod Kandungan berdaftar dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Wakil CeDS turut mengunjungi reruai peserta lain bagi bertukar pandangan dan meneroka peluang perkongsian ilmu. Interaksi bersama studio animasi tempatan juga membuka ruang perbincangan awal mengenai kemungkinan penganjuran ceramah atau sesi perkongsian industri bersama warga program.
Maklum balas pengunjung menunjukkan bahawa promosi berterusan diperlukan untuk memperluas pengetahuan masyarakat tentang penawaran pengajian animasi dan program diploma CeDS di UTHM Kampus Pagoh. Penglibatan dalam festival seperti ANIFEST-X menjadi salah satu usaha mendekatkan universiti dengan bakal pelajar dan komuniti kreatif.
Penyertaan ini diharapkan dapat meningkatkan keterlihatan Program Diploma Teknologi Animasi serta program diploma CeDS secara keseluruhan, di samping membuka peluang hubungan akademik dan industri yang menyokong pembangunan bakat pelajar.
Popular
-
UTHM dan Cosmo Skills Lahirkan Pelajar Diploma Kompeten Dalam Keselam… -
PAK Perdana CeDS 2025 Erat Hubungan Antara PAK dan Pelajar -
Lawatan Sambil Belajar Pelajar Diploma Teknologi Animasi di Warnakala… -
Tahap Pengetahuan Terhadap Kecerdasan Buatan Generatif dalam Kalangan… -
OBE Implementation Workshop Strengthens Academic Delivery at CeDS -
Bridging Classroom and Studio: A Deep Dive into Cyberjaya’s Animation… -
UTHM Memeterai MoU Bersama Cosmo Skills Sdn Bhd Untuk Memperkasa TVET… -
Dua Produk Inovasi CeDS Terpilih di Sesi Penilaian Produk Penyelidika… -
Staf Akademik UTHM Perkasa Industri Tempe Batu Pahat Melalui Lawatan… -
Lawatan Akademik Pelajar Diploma Kejuruteraan Elektrik ke Program Dis…
